Laporan kajian semula dasar pendidikan akan dibentang minggu hadapan kepada PM - Maszlee

12:58:00
PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, beliau akan membentangkan laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada minggu hadapan.

Beliau berkata, pihak kementerian akan mengadakan siri makmal dan bengkel untuk memperhalusi laporan JKD itu sebelum dibawa kepada mesyuarat Kabinet apabila sampai waktunya.

“Kita akan adakan siri-siri makmal dan bengkel untuk memperhalusi, kemudian akan dibawa kepada Kabinet apabila sampai waktunya. Nanti kita akan buat pengumuman rasmilah mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka dan Silaturahim Menteri Pendidikan di Presint 10 di sini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, JKD menyerahkan laporan lengkapnya kepada Maszlee dalam satu majlis ringkas di sini.

JKD ditubuhkan melalui cadangan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula dasar pendidikan negara, termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga universiti.

Pelantikan Ahli JKD dilaksanakan pada 18 Oktober 2018. JKD diberi tempoh sehingga 30 April lalu untuk menyediakan laporan lengkap.

Jawatankuasa itu telah mengadakan siri pertemuan di seluruh negara melibatkan 3,141 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Jawatankuasa ini juga telah menerima sebanyak 3,378 perakuan daripada pelbagai pertubuhan dan individu.

Mengenai inisiatif baharu menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimaklumkannya semalam, Maszlee berkata, beliau akan mengumumkan perkara itu apabila sampai waktunya.

“Pada kita, yang lebih penting kita ingin menyediakan anak-anak kita, rakyat kita bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.

“ Lebih daripada itu, kita mahu orang-orang kita berdaya saing di peringkat global dan pasaran pekerjaan yang begitu mencabar, “ katanya.

Maszlee berkata, dalam konteks ini Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan antara tumpuan, dan komitmen kerajaan adalah untuk menjadikannya sebahagian daripada arus perdana sistem pendidikan negara. - UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »