KPM digesa segerakan lantikan Pengarah Pendidikan negeri Perak

08:47:00
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil daerah Muallim, Rosmawati Jamaluddin (tiga kiri) pada Majlis Penyampaian Peruntukan Kepada Sekolah Separuh Bantuan Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - BH Online
IPOH: Kementerian Pendidikan diminta mempercepatkan urusan pelantikan Pengarah Pendidikan Perak yang tertangguh sejak tujuh bulan lalu, bagi memastikan kelancaran pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya jawatan berkenaan diisi segera.

“Sudah tiba masanya untuk (kementerian) mempercepat proses (pelantikan pengarah baharu) kerana timbalan tidak boleh memangku tugas pengarah untuk tempoh yang begitu lama dan diharap tindakan segera dapat diambil.

“Memang ada perbincangan berhubung calon pengarah tetapi yang membuat keputusan (melantik) bukan saya dan perbincangan kami (berhubung calon pengarah) berjalan dengan baik dan saya kira (semua pihak) sudah bersetuju dengan seorang calon.

“Jadi saya minta supaya calon yang sudah dipersetujui itu dapat melaporkan diri untuk menjalankan tugasnya secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan kepada sekolah separuh bantuan kerajaan di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Isu pelantikan Pengarah Pendidikan Perak yang baharu sebelum ini turut mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa isu pelantikan pegawai tertinggi JPN didakwa dibuat tanpa merujuk kepada EXCO Pendidikan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Negeri Perak, Omar Bakar, sebelum ini dipetik berkata, perkara berkenaan dilihat serius kerana ia didakwa membabitkan lantikan bagi jawatan Pengarah Pendidikan Negeri.

Katanya, pelantikan berkenaan perlu dibuat secepat mungkin supaya proses lantikan seterusnya bagi pegawai tertinggi di JPN boleh dilaksanakan.

Terdahulu, ketika berucap, Ahmad Faizal turut meluahkan kebimbangannya berhubung isu pelantikan Pengarah Pendidikan Negeri yang masih belum diselesaikan hingga ke hari ini.

Sumber: BH Online

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »