Guru kaunseling cedera ditikam murid angkara dendam

21:34:00
GURU lelaki di sebuah sekolah menengah agama di Kuala Langat cedera ditikam pelajar tingkatan lima sekolah itu semalam.

Difahamkan, mangsa yang juga guru kaunseling sekolah itu masih dirawat di Hospital Banting akibat insiden berkenaan.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di sebuah bilik di asrama sekolah itu.

“Motif kejadian dipercayai pelajar lelaki itu tidak berpuas hati kerana dikenakan tindakan buang sekolah.

“Pelajar itu dipercayai menikam mangsa di tangannya tiga kali,” katanya.

Menurutnya, insiden itu turut tular di aplikasi Whatsapp Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang mengesahkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai insiden berkenaan dan enggan mengulas lanjut.

“Polis masih menunggu keadaan mangsa stabil untuk direkodkan keterangan.

“Kejadian dipercayai berlaku di antara suspek dan mangsa, jadi polis harus menyiasatnya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »