Digelar pondan, guru lelaki rotan pelajar

19:31:00
JOHOR BAHRU - Kes seorang pelajar perempuan dirotan guru selepas dipercayai mengeluarkan perkataan biadab yang tular sejak semalam berlaku di sebuah sekolah menengah di Skudai di sini.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengesahkan kejadian itu namun kes berkenaan sudah diserahkan kepada pihak polis.
Pengarah JPN Johor, Azman Adnan berkata, ini kerana pelajar perempuan dan ibunya sudah membuat laporan polis.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan polis kerana murid dan penjaga telah membuat laporan polis. Kita serahkan dahulu kepada pihak polis untuk buat siasatan.

“Kejadian dilaporkan benar berlaku di Skudai, Johor Bahru dan setakat ini polis masih menyiasat kejadian ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki ekoran anak perempuannya dirotan.

Dalam rakaman itu guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan rotan pada tubuh anaknya.
“You (kamu) ingat, cikgu besar jangan cakap macam ini. You (kamu) rotan macam ini tengok rotan macam ni eh (sambil menunjukkan kesan birat pada lengan pelajar).

“Tengok tangan dia. You (kamu) rotan sampai macam ini. You (kamu) ini cikgu ah, tak boleh macam ini buat tau. You (kamu) memang salah.

“Dia cakap sama you (kamu) saja ma. Cakap ma. Dia ada pukul you (kamu) tak. Dah cakap sama you sorry, kenapa kamu nak... Kalau dia ada pukul you (kamu), kamu pukul dia tak apa. Jangan macam ini,” kata wanita itu dalam video berkenaan.

Difahamkan, guru lelaki berkenaan merotan pelajar perempuan itu disebabkan pelajar itu bersikap kurang ajar menggelarkan cikgu berkenaan sebagai pondan. - UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »