3 syarikat ISP bekal perkhidmatan talian Internet ke sekolah mulai 1 Julai 2019

11:07:00
PUTRAJAYA: Perkhidmatan talian Internet ke sekolah seluruh negara akan dibekalkan tiga syarikat penyedia perkhidmatan Internet (ISP), iaitu Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Maxis Broadband Sdn Bhd, mulai 1 Julai depan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, hari ini, berkata tiga syarikat itu menggantikan 1Bestarinet yang akan tamat kontrak pada 30 Jun ini selepas menyediakan talian Internet dan aplikasi persekitaran pembelajaran virtual (VLE) kepada 10,211 sekolah sejak 2012.

“Tiga syarikat ISP ini juga akan menyediakan perkhidmatan talian Internet ke beberapa bahagian di Kementerian Pendidikan dan 366 pusat kegiatan guru (PKG) di seluruh negara.

“Perkhidmatan ini adalah bagi tempoh enam bulan hingga 31 Disember depan. Kementerian Pendidikan akan memilih penyedia perkhidmatan Internet yang baharu bagi tempoh mulai 1 Januari 2020 selepas melakukan penilaian dan penambahbaikan diperlukan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sebahagian besar daripada 10,211 sekolah akan mulai menerima perkhidmatan talian Internet berkenaan seawal 1 Julai depan.

“Sebahagian kecil sekolah, terutama di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, akan mengalami sedikit gangguan yang dijangka diselesaikan sebelum akhir Julai,” katanya.

Menurut kenyataan berkenaan, susulan berakhirnya perkhidmatan 1Bestarinet Fasa 2, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk mengguna pakai pelantar pembelajaran Google Classroom (GC) bagi menggantikan Frog VLE.

“Bagi sebarang pertanyaan berkaitan, kementerian sudah mewujudkan talian khas bantuan atau Help Desk melalui MyGCC 03-80008000 atau e-mel: ihd@moe.gov.my atau interim@moe.gov.my bagi membantu semua pihak terbabit menikmati perkhidmatan terbaik dan tanpa gangguan sepanjang tempoh yang dimaksudkan.

“Berdasarkan maklum balas diterima kementerian selama ini, usaha di atas dilakukan sebagai langkah prihatin kepada guru dan anak-anak serta mahukan yang terbaik untuk warga sekolah,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »