Tolak MUET, NUTP cadang pertingkat kursus BI guru

17:09:00
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kekal dengan pendirian menolak pelaksanaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) kepada guru, sebaliknya mencadangkan kerajaan menambah baik kursus dan latihan sedia ada.
Presidennya, Aminuddin Awang, berkata pihaknya bertegas membantah keputusan itu kerana MUET didakwa bukan kaedah standard untuk menilai kualiti guru kerana ia hanya sesuai dijalankan bagi mengukur tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar, sebagai syarat mengikuti program ijazah di universiti.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan disaran memperkasakan latihan dan kursus sedia ada bagi meningkatkan kualiti guru Bahasa Inggeris termasuk yang dilaksanakan melalui dalam talian, penataran (cascading), kursus Professional Up-skilling of English Language Teacher (PRO-ELT) dan program Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+).
“Kita sokong usaha kementerian untuk meningkatkan kualiti guru Bahasa Inggeris, tetapi bukan melalui MUET sebab pengisian ujian itu tidak menilai apa yang sepatutnya dan ia juga bukan ‘alat’ paling sesuai menentukan tahap kecekapan guru kerana ia digunakan untuk pelajar memasuki universiti.

“Jadi, Kementerian Pendidikan tarik semula arahan yang meminta guru yang belum mengambil sebarang ujian kecekapan untuk menduduki MUET.

“Bantahan ini adalah hasil suara guru di peringkat bawah yang memang tidak mahu penguasaan kecekapan Bahasa Inggeris mereka dinilai melalui MUET, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa MUET digunakan untuk guru opsyen Bahasa Inggeris yang belum mencapai tahap penguasaan C1 di bawah kerangka piawaian antarabangsa Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

Sebelum ini, NTUP membantah keputusan menuntut guru menduduki MUET selepas susulan surat daripada Pejabat Ketua Pengarah Pelajaran bertajuk ‘Tahap Penguasaan Bahasa Inggeris Guru Opsyen Bahasa Inggeris Berlandaskan CEFR’ pada 14 April lalu.

Melalui surat itu, ia mengkehendaki 20,634 guru yang belum mengambil sebarang ujian kecekapan bahasa Inggeris menduduki MUET dengan pembiayaan sendiri bagi mengetahui tahap penguasaan bahasa itu menjelang Disember depan.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, pihaknya bersetuju guru menduduki ujian selain MUET yang dijajarkan kepada CEFR seperti Aptis dan IELTS (International English Language Testing System).

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan membawa isu berkenaan pada sesi pertemuan dengan Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

“Kita akan menyampaikan kepada mereka asas bantahan terhadap MUET dan penambahbaikan kursus yang boleh dilaksanakan kementerian untuk meningkatkan kualiti guru Bahasa Inggeris, ” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »