Sekolah bukan “tempat ajaib” untuk selesai semua perkara - NUTP

20:07:00
Imej hiasan via FB SK Bota Kiri Excellent
Sekolah bukanlah "tempat ajaib" yang mampu menyelesaikan semua masalah, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Presidennya Aminuddin Awang berkata demikian ketika mengulas cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) agar subjek mengenali agama lain diperkenalkan di sekolah dan universiti.

Ia bagi meningkatkan kefahaman dan keharmonian penganut pelbagai agama di Malaysia.

“Elakkan semua pihak jadikan sekolah sebagai tempat ajaib bagi menyelesaikan semua masalah.

"Iaitu dengan cuba memperkenalkan mata pelajaran baru setiap kali ada isu yang timbul," kata Aminuddin ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
NUTP sebaliknya setuju dengan kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa kegiatan melibatkan penghayatan terhadap budaya, kaum dan agama di sekolah dan universiti boleh meningkatkan keharmonian.

“Apa yang lebih penting, wujudkan lebih banyak ruang untuk semua murid lebih mengenali budaya kaum lain.

“Aktiviti kokurikulum sekolah boleh menjadi medium terbaik bagi mewujudkan perpaduan dan seterusnya perasaan hormat menghormati," katanya lagi, sambil menggesa kegiatan kokurikulum diperkasakan untuk tujuan itu.

Selain kegiatan seperti kokurikulum dan program antara sekolah berbeza aliran, Maszlee juga berkata beberapa subjek sedia ada memang menerapkan tentang agama dan budaya berbeza.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »