MUET, Kementerian Pendidikan temui kesatuan guru

10:27:00
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan hari ini mengadakan sesi libat urus bersama 3 kesatuan sekerja dalam perkhidmatan perguruan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak berhubung agenda peningkatan kualiti pendidikan bahasa Inggeris, termasuk isu berkaitan keperluan guru opsyen subjek Bahasa Inggeris mengambil ujian Malaysian University English Test (MUET).

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkata, sesi libat urus yang dihadiri lebih 20 pemimpin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) berlangsung di Putrajaya.

Sesi libat urus itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin.
Sesi pertemuan yang seterusnya akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi satu perbincangan yang lebih menyeluruh, kata kenyataan itu.

“Sesi ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan usaha kementerian merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap (2015-2025), yang merupakan satu pelan hala tuju pendidikan bahasa Inggeris,” kata kenyataan itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Habibah Rahim dan Pengerusi Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris, Prof Zuraidah Mohd Don.

Menurut kenyataan itu, sesi libat urus ini diadakan bagi mendengar suara para guru menerusi kesatuan masing-masing.

“Selain menjelaskan rasional pelaksanaan inisiatif English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap (2015-2025), kementerian juga menerima banyak pandangan dan input yang bernas daripada kesatuan-kesatuan sekerja yang hadir pada pertemuan hari ini.

“Pada kesempatan ini, kementerian mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang dizahirkan oleh NUTP, STU dan KGKS,” katanya.

Minggu lalu, Presiden NUTP, Aminuddin Awang meminta kementerian dan pihak berkepentingan sektor pendidikan membuat kajian komprehensif untuk mengetahui punca sebenar kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid berbanding menuding jari terhadap tahap penguasaan para guru.

Kata beliau, mereka harus mengenal pasti punca yang mempengaruhi tahap penguasaan murid yang lemah dalam subjek itu berbanding memberi arahan supaya guru opsyen Bahasa Inggeris menduduki MUET.

Pada 14 April lepas, Amin dalam satu pekeliling mengarahkan guru yang mengajar Bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

MUET dipilih sebagai ujian penguasaan bahasa Inggeris untuk guru opsyen Bahasa Inggeris bagi mengenal pasti tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka sejak 2017.

MUET juga digunakan untuk guru opsyen Bahasa Inggeris yang masih belum mencapai tahap penguasaan C1.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »