Maszlee harap pelajar cemerlang juga pilih bidang pendidikan

13:40:00
Di saat isu kemasukan ke kolej matrikulasi yang diperkatakan, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berharap semakin ramai pelajar cemerlang yang memilih untuk menyambung pelajaran di institut perguruan.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 5,200 surat tawaran ke institut pendidikan guru (IPG) dengan 6,000 pengambilan yang masih belum mencapai sasaran.


“Semua orang pilih masuk matrikulasi. Jadi maktab (perguruan) makin merosot.

"Kita menggalakkan pelajar cemerlang berminat mengajar agar dapat memohon, terutama (untuk guru) bahasa Mandarin dan Tamil," katanya ketika berucap di majlis buka puasa bersama media, di Putrajaya hari ini.

Maszlee juga berharap pelajar terutama yang mendapat keputusan cemerlang tidak melihat bidang profesional tertentu yang disifatkannya sebagai "kursus tradisional".


Katanya, pelajar lebih memilih kursus seperti perubatan, pergigian dan perakaunan sementara kursus seperti bioteknologi dan nanoteknologi kurang mendapat sambutan.

“Walhal kursus-kursus ini menawarkan kerjaya yang lebih baik. Begitu juga analisis data. Ini juga kurang dapat sambutan kerana masih ramai terikat dengan kursus tradisional.

“Dan bila tak dapat (tawaran), masing-masing marah. Seperti biasa saya akan jadi mangsa,” kata anggota parlimen Simpang Renggam itu lagi.

Justeru, katanya, pihaknya sedang meneliti langkah untuk menarik lebih ramai pelajar memilih kursus yang kurang diminati tetapi mempunyai prospek kerjaya yang baik.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

1 comments:

Write comments
2 Jun 2019, 11:35:00 delete

Salam.
1. Sehubungan dengan kenyataan YB Menteri Pendidikan berkaitan isu ini, saya terpanggil untuk membuat catatan ini, khususnya memahami apa yang dimaksudkan dengan pelajar cemerlang. Saya harap komen ini relevan & mendapat perhatian selari dengan kenyataan yang dibuat.
2. Anak saya seorang OKU, cacat fizikal (sindrom Arthrogryposis Multiplex Congenita) tetapi mampu berdikari.
3. Beliau memperolehi semua A (4A & 4A-) dalam semua mata pelajaran SPM 2018. Diiktiraf oleh JPN sebagai pelajar terbaik/cemerlang Calon Berkeperluan Khas SPM 2018 bagi negeri Kedah.
4. Aktif dalam sukan (atlit renang paralimpik Kedah) selain berbakat dalam muzik. Pada tahun 2018, menyertai Sukan Para Sukma Perak 2018 dan sebelumnya Kejohanan Para Renang Sirkit Kebangsaan 2018. Beliau berjaya memperolehi pingat gangsa di kedua-dua kejohanan tersebut. Baru-baru ini iaitu pada bulan Mac 2019, beliau menyertai Kejohanan Para Renang Terbuka Malaysia dan mendapat 6 pingat perak. Beliau boleh bermain piano (Grade 3) dan sedang berusaha untuk mengambil Ujian Trinity Piano Grade 4 pula.
5. Beliau amat berminat menjadi guru & telah memohon PISMP Laluan Khas kepada Murid Berkeperluan Khas (No. Rujukan Pengesahan Permohonan: PISMPAI17U0517P162019).
6. Dipanggil untuk UKCG tetapi tidak tersenarai untuk panggilan temu duga. Pelbagai usaha dibuat untuk dipanggil temu duga, namun gagal.
7. Ekoran daripada kegagalan-kegagalan tersebut, rayuan rasmi dikemukakan oleh anak saya kepada IPG (Rektor) melalui surat bertarikh 18/04/19.
8. Oleh kerana tiada sebarang respons daripada IPG, maka saya telah menghantar surat rayuan rasmi kepada YB Menteri (melalui e-mel) pada 09/05/19 yang lalu.
9. Alhamdulillah & terima kasih kerana sekurang-kurangnya dapat juga jawapan iaitu pada hari yang sama walaupun sekadar Automatic Reply yang memaklumkan bahawa: E-mel Tuan/Puan akan dibaca oleh pegawai di pejabat saya. Kami menerima sejumlah e-mel yang agak besar setiap hari dan mesej automatik ini ialah mengesahkan bahawa e-mel Tuan/Puan telah diterima. Semua e-mel akan dibaca oleh pegawai-pegawai kami.
10. Namun hingga saat ini (dan seperti sebelumnya) masih tiada sebarang perkembangan.
11. Bila ada kenyataan tentang harapan YB Menteri Pendidikan agar pelajar cemerlang menceburi bidang pendidikan, maka saya terpanggil untuk mendapatkan pencerahan yang lebih jelas tentang definisi pelajar cemerlang.
Sekian, terima kasih. Walahualam.

Ahmad Fauzi bin Mohamed.
fauziksah@gmail.com
Tarikh: 02/06/19

Reply
avatar