KPM sahkan MUET untuk guru belum capai tahap penguasaan C1

22:55:00
Imej hiasan
PUTRAJAYA: Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) digunakan untuk guru opsyen Bahasa Inggeris yang masih belum mencapai tahap penguasaan C1 di bawah kerangka piawaian antarabangsa Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

Kementerian Pendidikan memaklumkan, MUET dipilih sebagai ujian penguasaan untuk guru opsyen Bahasa Inggeris bagi mengenal pasti tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka sejak 2017.

“MUET dipilih kerana ia adalah ujian yang dibina menggunakan kepakaran tempatan, dinilai berlandaskan CEFR, dilaksanakan tiga kali setahun di seluruh Malaysia dan lebih murah berbanding ujian lain.

“Kementerian juga membenarkan guru menduduki ujian selain MUET yang dijajarkan kepada CEFR seperti Aptis dan IELTS (International English Language Testing System),” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah keputusan yang menuntut guru menduduki MUET.

Ia susulan surat dari Pejabat Ketua Pengarah Pelajaran bertajuk ‘Tahap Penguasaan Bahasa Inggeris Guru Opsyen Bahasa Inggeris Berlandaskan CEFR’ pada 14 Apri lalu yang mengkehendaki 20,634 guru yang belum mengambil sebarang ujian profesiensi bahasa Inggeris menduduki MUET dengan pembiayaan sendiri bagi mengetahui tahap penguasaan bahasa itu menjelang Disember depan.

Berikutan itu, NUTP bersama Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Kesatuan Guru Sabah (KGS) dan Sarawak Teachers Union (STU) mengadakan satu seminar pendidikan bahasa Inggeris bagi membincangkan isu itu dan merumuskan bahawa Kementerian Pendidikan perlu menyelesaikan isu pokok iaitu kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris terlebih dulu berbanding mengarahkan guru itu menduduki MUET.
Menurut Kementerian Pendidikan, ia terus mengambil langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris.

Antara langkah jangka pendek itu ialah penawaran lantikan baharu kepada guru opsyen bahasa Inggeris yang bersara awal, penawaran program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)/Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) opsyen bahasa Inggeris dan penempatan semula guru opsyen bahasa Inggeris.

“Selain itu, pelantikan guru baharu opsyen bahasa Inggeris dipercepatkan bagi memenuhi kekosongan dan pelantikan guru opsyen bahasa Inggeris daripada bekalan pasaran terbuka seperti guru interim/kontrak opsyen bahasa Inggeris.

“Kementerian juga sedang dalam usaha menempatkan 500 guru interim di sekolah rendah dan menengah, yang mana mereka perlu menghadiri Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (PDPP) untuk disahkan dalam jawatan sebagai guru opsyen bahasa Inggeris selepas tiga tahun,” menurutnya.
Menurutnya, antara langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah itu termasuk pertambahan bilangan pengambilan pelajar opsyen bahasa Inggeris oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Universiti Awam (UA) serta penempatan guru opsyen bahasa Inggeris oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris dengan memastikan hanya guru yang cemerlang diserap masuk atau dilantik.

“Kementerian tidak berkompromi dengan syarat kelayakan calon guru opsyen bahasa Inggeris yang berkelayakan bagi memastikan kualiti bahasa Inggeris murid di sekolah mencapai tahap yang ditetapkan supaya dapat melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam pasaran global.

“Segala inisiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan adalah seiring dengan sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris oleh para guru yang mengajar subjek bahasa Inggeris dan juga murid,” menurutnya.

Sehingga kini, seramai 67 peratus daripada guru yang sudah menduduki ujian tahap penguasaan bahasa Inggeris berada pada tahap CEFR C1 dan C2.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »