Kebajikan, Imej & Beban Tugas Guru Jadi Fokus Utama Kerajaan PH - Maszlee

09:05:00

Teras pencapaian kedua dalam reformasi pendidikan setahun di bawah Kerajaan PH ialah menjadikan kebajikan guru sebagai fokus utama.

Dalam teras pencapaian ini terdapat dua perkara yang dilihat secara menyeluruh.


Pertama ialah aspek beban tugas guru.

Bagi menangani keresahan guru dalam hal berkaitan beban tugas ini, bermula pada tahun 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merangka lima inisiatif dan sembilan intervensi khusus.

Semua inisiatif dan intervensi ini dilaksanakan untuk mengatasi pertindihan tugas supaya guru-guru dapat memberikan fokus secara lebih besar kepada aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Selain itu, KPM juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif lain yang sesuai untuk dilaksanakan dalam tempoh jangka panjang. Inisiatif ini adalah untuk menangani isu-isu berkaitan guru yang lebih kompleks.

Ia melibatkan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur fizikal ICT, pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah.

Ini termasuk isu berkaitan waktu kerja guru, capaian Internet di sekolah, integrasi sistem maklumat, peranan pentadbir dan anggota kumpulan pelaksana dan agihan guru di sekolah.


Perkara kedua yang menjadi perhatian dalam teras pencapaian ini ialah kebajikan dan imej guru.

KPM sedang dengan giat mengadakan perbincangan lanjut dengan semua pemegang taruh sedang dijalankan bagi menggubal Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan dan kebajikan guru ketika membawa murid keluar sekolah.

Di samping itu, KPM juga dalam usaha mengukuhkan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk turun ke sekolah-sekolah dan mengajar bagi membantu memberikan panduan kepada guru dan pihak sekolah.

Buat permulaan, Pihak JNJK sedang menyediakan Koleksi video Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk perkongsian best practices dengan guru mengikut keperluan.

Guru ialah obor hemah, tunjang terpenting dalam mendukung sistem pendidikan negara. Kegembiraan guru dalam melaksanakan tugas akan memastikan manfaat besar kepada murid.

Justeru, KPM akan meneruskan pelbagai usaha memastikan bidang tugas guru sentiasa memenuhi keperluan dan tanggungjawab utama mereka, untuk mencurahkan ilmu dan memberikan didikan terbaik buat anak-anak kita.

Sumber: FB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »