Tiada bukti pelajar sekolah vernakular tidak fasih bahasa Melayu

21:47:00
KUALA LUMPUR 17 April - Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd. Fadil Osman bahawa sekolah vernakular Cina dan Tamil memusnahkan perpaduan di Malaysia.

Dominic berkata, kenyataan Mohd. Fadil itu adalah satu kenyataan bersifat perkauman dan akan merosakkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Adakah Mohd. Fadil ada bukti yang menunjukkan pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tidak fasih dalam bahasa Melayu?

“Sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil telah menghasilkan banyak bakat selama bertahun-tahun dan menyumbang banyak kepada negara. Di samping itu, terdapat banyak pelajar Melayu yang belajar di sekolah Cina. Adakah pelajar-pelajar ini juga memusnahkan perpaduan negara?
Tambah Dominic, pihaknya juga boleh mengaturkan satu sesi debat antara Mohd. Fadil dengan pelajar sekolah Cina dan Tamil yang fasih dalam bahasa Melayu sebagai bukti sekiranya beliau setuju.

“Kenyataan yang dibuat oleh Mohd. Fadil jelas menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai akal sihat. Katanya hanya akan memusnahkan hubungan antara kumpulan etnik dan tidak akan mendatangkan faedah kepada Malaysia.

“Dia harus ingat bahawa generasi baru Malaysia tidak lagi menerima pemimpin yang berfikiran sempit dan rasisme. Pernyataan yang melampau dan perkauman merupakan salah satu sebab utama kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Malaysia adalah negara berbilang kaum. Gerakan menegaskan terhadap sebarang kenyataan yang akan menghancurkan keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.

Sumber - UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »