Mata pelajaran Sains Pertanian bakal diperkenalkan semula di sekolah

15:43:00
PONTIAN - Mata pelajaran Sains Pertanian akan diperkenalkan semula di sekolah dalam masa terdekat.
Ini berikutan Kementerian Pendidikan melalui Menterinya Dr Maszlee Malik dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani secara dasarnya telah bersetuju akan usaha tersebut selepas dibincang dalam mesyuarat kabinet lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata proses selanjutnya akan dibincangkan lagi oleh kedua-dua Ketua Setiausaha kementerian (KSU) masing-masing, secepat mungkin.

"Sekarang ini memang ada sekolah-sekolah yang masih mengekalkan aktiviti pertanian tetapi subjek (Sains Pertanian) saya tak pasti. Tapi dulu, ketika tahun 1970, 80an sains pertanian ini satu subjek pilihan untuk lulus peperiksaan.
"Ia sangat berkesan tetapi sekarang untuk menjadikannya sebagai pilihan ataupun sebaliknya, nanti kita fikirkan kemudian. Yang penting, pengetahuan mengenainya diajar kepada pelajar di peringkat awal, kalau boleh di peringkat sekolah rendah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program "MYGREENTEAM”, projek kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LLP) dan Kementerian Pendidikan di sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Barat di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi LLP, Datuk Mazlan Aliman; Ketua Pengarah LLP Azulita Salim; dan wakil Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Yusman Jamsir. - Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »