Maszlee perjelas isu pemansuhan audit SKPMg2

20:42:00
Saya telah menerima banyak aduan dan pertanyaan berkenaan pelaksanaan Penilaian Kendiri Sekolah (PKS) berasaskan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2).

Sehubungan itu, saya ingin menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan seperti berikut:
1. Adakah pelaksanaan PKS berasaskan SKPMg2 telah dimansuhkan?

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Surat Siaran Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) bertarikh 31 Disember 2018 telah menjelaskan bahawa pelaksanaan PKS berasaskan SKPMg2 sebagai alat pengurusan sekolah berjalan seperti biasa.

Instrumen penilaian kendiri sekolah ini merupakan panduan pengoperasian sekolah bagi membantu meningkatkan kualiti pengurusan sekolah ke arah kemenjadian murid secara menyeluruh.
2. Jadi apa yang dimansuhkan KPM berkaitan PKS berasaskan SKPMg2 ini?

Pengumuman saya pada 7 Jun 2018 adalah hanya memberhentikan Audit PKS berasaskan SKPMg2.

Pemberhentian Audit ini dilaksanakan kerana kurang pemahaman dan berlaku kekeliruan terhadap tujuan Audit berkenaan.
3. Apakah langkah berikutnya yang akan dilaksanakan oleh KPM berkaitan isu SKPMg2 ini?

Mulai 3 Mac 2019, sesi bimbingan SKPMg2 diteruskan dalam bentuk Klinik SKPMg2 di mana ia merupakan bimbingan bersemuka pihak Jemaah Nazir bersama-sama dengan pihak sekolah.

Tujuan Klinik ini dilaksanakan adalah untuk memberi kefahaman kepada pihak sekolah berkaitan penggunaan SKPMg2. Semua sekolah yang berhasrat untuk mendapatkan bimbingan boleh membuat temujanji dengan mana-mana pejabat Jemaah Nazir Negeri.

Kepada golongan guru yang sering resah dan tertekan dengan kehadiran Jemaah Nazir ke sekolah, jangan bimbang kerana selepas ini saya akan meminta Jemaah Nazir untuk sama-sama turun ke sekolah dan mengajar di dalam kelas bagi memberikan panduan lebih praktikal dan menarik kepada guru-guru.
Ini sama seperti apa yang saya tunjukkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya, Semporna, Sabah baru-baru ini.

Cadangan Jemaah Nazir untuk turut sama mengajar di sekolah adalah selari dengan penyuburan konsep kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati dalam kalangan guru. Selain itu, tugas Jemaah Nazir bukan untuk membuat penilaian kepada guru semata-mata, sebaliknya membantu guru dengan cara memberi bimbingan dan panduan untuk mereka dapat melaksanakan tugas mengajar dengan lebih berkesan.

Saya amat mementingkan kebajikan guru dan saya percaya dengan kegembiraan ketika melaksanakan tugas, guru-guru kita mampu mengajar dengan lebih baik dan memastikan anak-anak kita mencapai potensi cemerlangan dalam kehidupan.

DR MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
2 APRIL 2019

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »