Kementerian Pendidikan pertimbang tukar nama TVET - Maszlee

12:07:00
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mempertimbang untuk menukar nama Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi mengubah persepsi umum terhadap bidang itu dalam usaha menjadikannya pilihan arus perdana.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya sedar bahawa TVET masih belum menjadi pilihan utama sehingga timbul stigma dalam masyarakat bahawa bidang berkenaan adalah pilihan kedua atau bagi mereka yang tidak berjaya.

“Kementerian Pendidikan akan mengorak langkah untuk mengubah stigma dan persepsi ini. Bagi kita, TVET atau namanya pun mungkin kita terpaksa ubah.

“Bila sebut TVET dan vokasional, ia bukanlah sesuatu yang dilihat tinggi. Bagaimanapun, kita perlu menghargai dan menghadapi bahawa kemahiran manusia berbeza serta ada orang yang boleh cemerlang melalui TVET.

“Maka, komitmen kementerian ialah mengangkat TVET supaya menjadi pilihan arus perdana,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Tiga Inisiatif Terbaharu Oleh Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut pada sidang media selepas itu, Maszlee berkata, cadangan menukar nama TVET akan diumumkan pada masa yang sesuai kelak.

Sumber: BH Online

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »