“Kami sebenarnya sudah laksanakan PPSMI, cuma tak umumkan” - Perdana Menteri

18:56:00
Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah kebangsaan telah dilaksanakan semula tanpa sebarang pengumuman dibuat kerajaan, maklum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara bersama New Straits Times (NST), perdana menteri berkata pentadbiran terdahulu memilih sekolah-sekolah yang dibenarkan untuk mengajar mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris, manakala yang lain pula "enggan" berbuat demikian.
"Kami sebenarnya melaksanakan (PPSMI) sekarang tapi tanpa mengumumkannya.

"Pentadbiran terdahulu, kerana desakan mereka membenarkan sesetengah sekolah, sekolah-sekolah terpilih untuk mengajar dalam bahasa Inggeris tetapi terdapat juga sekolah yang enggan mengajar (sains dan matematik) dalam bahasa Inggeris," katanya seperti dipetik laporan itu.

Mahathir berkata tindakan oleh pentadbiran terdahulu sebagai "tidak adil" mendakwa ini membawa kepada diskriminasi dalam pasaran pekerjaan.

"Hari ini, kelihatannya mereka berkata sains dan matematik perlu diajar di dalam bahasa Melayu, (namun) mereka membenarkan sesetengah sekolah untuk mengajar (mata pelajaran itu) dalam bahasa Inggeris.

"Ini tidak adil kerana lulusan sekolah (belajar dengan PPSMI) akan diambil bekerja. Mereka yang pergi ke aliran bahasa Melayu tidak akan diambil bekerja. Ini merupakan diskriminasi terhadap mereka," katanya.
Menjelaskan lanjut, perdana menteri berkata malahan terdapat sekolah dan guru-guru yang tidak suka mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

"Sudah tentu, mereka tidak suka (mengajar dalam bahasa Inggeris). Malahan guru-guru juga tidak suka.

"Ia menjadi beban kepada guru-guru untuk mengajar dengan kaedah pengajaran sekarang. Tetapi sekiranya kami menggunakan program-program untuk mengajar, saya fikir mereka akan belajar menguasai bahasa Inggeris," katanya.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 1,300 sekolah di seluruh negara menggunakan program dwi bahasa (DLP), di mana pengajaran sains dan matematik dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, DLP bukan sistem wajib dan terserah sekolah untuk memilih melaksanakannya atau tidak.

Dalam wawancara NST itu juga, Mahathir ditanya apa yang akan dilakukannya jika beliau menjadi menteri pendidikan, jawatan yang ditarik baliknya kerana janji manifesto PH menghalang perdana menteri daripada memegang portfolio lain.

"Kami perlu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Idea orang Melayu tidak boleh belajar dalam bahasa Inggeris adalah bodoh.

"Saya orang Melayu, saya boleh berbahasa Inggeris yang munasabah, kenapa orang lain tidak boleh?" Soalnya.
Mahathir yang pernah berkhidmat sebagai menteri pendidikan dari tahun 1974 hingga 1977, juga memberitahu NST walaupun sekolah-sekolah wajib menyediakan pendidikan agama dan moral, namun ia tidak seharusnya mengorbankan mata pelajaran lain.

"Berkenaan dengan pendidikan agama, kami percaya sekolah perlu menyediakan pendidikan keagamaan, tetapi ia tidak seharusnya mencerobohi pengajaran mata pelajaran lain.

Sumber: Malaysiakini

"Kami dapati dalam kurikulum, begitu banyak (masa) diberikan kepada pendidikan agama dengan mengorbankan mata pelajaran lain - sains dan matematik," katanya.

Sebelum PRU14 tahun lepas, Mahathir berkata pungutan suara akan diadakan bagi memberikan rakyat Malaysia peluang untuk memutuskan sama ada PPSMI akan dikembalikan atau tidak.

Mahathir memperkenalkan dasar itu pada 2003, dengan pelaksanaan penuh di sekolah menengah pada tahun 2007 dan setahun kemudian untuk sekolah rendah.

Bagaimanapun, PPSMI mendapat bantahan pihak tertentu, yang menyebabkan menteri pendidikan ketika itu Muhyiddin Yassin mengumumkan program berkenaan dimansuhkan pada 2012.

Satu kajian oleh 53 pakar mendapati PPSMI hanya dapat meningkatkan komitmen bahasa Inggeris di kalangan pelajar sebanyak empat peratus dan juga menurunkan minat pelajar dalam subjek sains dan matematik.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »