Dari Mahkamah ke Bilik Darjah (MYC2C) dedah konsep perundangan kepada murid

14:40:00
Richard Malanjum (tengah) menunjukkan buku bartajuk 'Sistem Kehakiman dan Perundangan Malaysia' pada Majlis Pelancaran Program dari Mahkamah Ke Bilik Darjah (MYC2C) di SMK Putrajaya Presint 8 (1) hari ini. Turut kelihatan Mohamed Hanipa Maidin (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Shaari Osman. - BERNAMA
PUTRAJAYA 8 April - Pelajar sekolah menengah di seluruh negara bakal diberi kefahaman awal mengenai sistem perundangan Malaysia menerusi program Dari Mahkamah ke Bilik Darjah (MYC2C).

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, program anjuran Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dan Kementerian Pendidikan itu bertujuan memberi pendedahan awal mengenai intipati undang-undang serta mendidik generasi muda menghormatinya.
"Sistem perundangan selalunya dipelajari di fakulti perundangan dan ia sudah lambat kerana jika diajar di bangku sekolah lagi, generasi muda akan lebih mengetahui sistem penghakiman negara.

“Justeru saya berharap anak muda dapat memanfaatkan program ini sekali gus dapat mengurangkan penggunaan dadah dan buli di peringkat sekolah,” katanya selepas pelancaran Program MYC2C, di sini hari ini.

Yang turut hadir Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin serta Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mengulas lanjut Richard berkata, program MYC2C merangkumi tiga aspek utama iaitu lawatan ke mahkamah, hakim ke sekolah dan peguam muda.

Katanya, kesemua program yang dijangka bermula Jun ini akan memberi peluang kepada pihak sekolah dan mahkamah untuk bekerjasama serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

“Pihak sekolah boleh membuat permohonan untuk Hakim atau Majistret datang ke sekolah dan memberi syarahan berkaitan undang-undang negara.

“Bagi program peguam muda pula, akan diadakan perbicaraan olok-olok bagi memberi gambaran sebenar perjalanan prosiding mahkamah,” katanya.

Sumber - UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »