Calon SPM dibenar ambil peperiksaan satu subjek - Timb. Menteri Pendidikan

16:27:00
KUALA LUMPUR: Pelajar yang hanya mahu mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), boleh berbuat demikian jika mendapat kelulusan pengarah Lembaga Peperiksaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata pelajar dalam kes khas sedemikian bagaimanapun tidak akan diberikan sijil SPM, sebaliknya hanya menerima penyata keputusan untuk mata pelajaran terbabit.

“Jika pelajar itu ambil mata pelajaran Bahasa Melayu, penyataan keputusan akan diberikan untuk mata pelajaran itu sahaja, tetapi kalau nak ambil satu mata pelajaran SPM, pelajar itu mesti dapat kelulusan pengarah Lembaga Peperikaan. Tanpa kelulusan itu, maka tak boleh.

“Hanya jika pelajar itu ambil enam mata pelajaran wajib dalam SPM dan mendapat kredit dalam Bahasa Melayu serta lulus Sejarah, baru akan dapat sijil SPM,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Enam subjek yang ditetapkan sebagai prasyarat utama calon SPM ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Terdahulu, Nie Ching pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, berkata calon SPM dibenarkan mengambil satu mata pelajaran berbanding enam mata pelajaran seperti ditetapkan dalam prasyarat utama jika mendapat kelulusan pengarah Lembaga Peperiksaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai sama ada kerajaan ingin menjadikan SPM sebagai peperiksaan terbuka yang membenarkan calon mengambil hanya satu subjek.

Sumber: Berita Harian

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »