Tuduhan CUEPACS 400,000 penjawat awam tertekan tidak ada asas - JPA

18:30:00
PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melihat dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa terdapat kira-kira 400,000 penjawat awam mengalami tekanan sebagai data yang tidak mempunyai bukti berasas.
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr Abdul Jalil Hassan berkata, data itu merupakan anggaran CUEPACS semata-mata berdasarkan kajian yang tidak melibatkan penjawat awam secara menyeluruh.

Tanpa menafikan terdapat penjawat awam yang tertekan, menurut beliau kajian CUEPACS itu adalah berdasarkan sampel mudah melalui libat urus dan pergaulan antara pelajar-pelajar universiti dan segelintir penjawat awam.

CUEPACS sebelum ini dilapor mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam mengalami tekanan emosi sehingga ada yang memiliki kad psikiatri, dengan punca utama masalah berkenaan ialah kos sara hidup serta tekanan kerja.

Abdul Jalil dalam taklimat media berhubung isu 400,000 penjawat awam tertekan di sini hari ini, berkata, definisi tekanan juga perlu difahami dengan jelas kerana ia terbahagi kepada dua kategori iaitu tekanan negatif dan tekanan positif.

"Tekanan negatif (distress) berlaku apabila sesuatu perkara yang dihajati tidak berlaku manakala tekanan positif (eustress) mampu meningkatkan perkhidmatan dan prestasi penyampaian kepada rakyat," katanya.
Ditanya jumlah sebenar penjawat awam mengalami masalah tekanan, Abdul Jalil berkata JPA tidak mempunyai data itu dan bercadang melakukan satu kajian untuk mengenal pasti jumlah sebenar.

Menurutnya, pihaknya dapat menangani tekanan dalam kalangan penjawat awam dengan baik melalui penyediaan pegawai psikologi di setiap kementerian, jabatan dan negeri.

Mengulas dakwaan CUEPACS terdapat penjawat awam yang memiliki kad psikiatri, Abdul Jalil berkata kad berkenaan adalah satu perkara peribadi di antara pesakit dan doktor, dan tidak didedahkan kepada pihak lain kecuali didedahkan sendiri oleh pemilik.

"Kad psikiatri itu sebenarnya bukan diberikan untuk mengesahkan seseorang itu mengalami masalah mental sebaliknya ia bagi memudahkan pemilik kad berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan bantuan," katanya. - Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »