Sikap ibu bapa antara punca kemorosotan jumlah pelajar STEM

11:14:00
(Kiri) CEO Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib
KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang memberi isyarat salah mengenai mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) antara punca merosotnya jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran itu saban tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib, berkata ini membimbangkan kerana ibu bapa yang memberi isyarat salah mengenai STEM boleh ‘mematikan’ minat pelajar terhadap subjek itu.

“Situasi ini juga menjelaskan antara sebab sistem pendidikan negara kehilangan sekurang-kurangnya 6,000 pelajar berpotensi dalam bidang STEM setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan pendedahan mengenai aplikasi subjek sains dan matematik dengan kehidupan seharian juga menjadi antara sebab penurunan ketara pelajar dalam bidang STEM daripada 203,391 orang pada 2012 kepada 167,962 orang pada 2018.
Baru-baru ini Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengakui jumlah pelajar yang mengambil mata STEM merosot saban tahun.

Maszlee berkata, walaupun peranan STEM berkait rapat dengan pekerjaan baharu muncul dan industri digital yang berkembang pesat, namun penawaran bakat dalam bidang STEM agak membimbangkan.

Menyentuh sikap ibu bapa yang terlalu mengambil langkah selamat agar anak mereka lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Hazami menyifatkan tindakan itu hanya akan merugikan potensi sebenar yang ada pada pelajar berkenaan.

“Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk masa depan anak mereka sehingga mengambil langkah selamat, iaitu tidak membenar atau menggalakkan mengambil subjek Matematik Tambahan kerana dianggap susah dan hanya akan menjejaskan keputusan peperiksaan.
Hazami mencadangkan agar subjek Sains diperkenalkan dari peringkat prasekolah dan dalam masa yang sama, ibu bapa turut diberi pendedahan kepada kepentingan subjek itu yang tidak terhad penggunaannya dalam Sains sahaja.

“Kerjasama antara guru, ibu bapa, agensi, penggiat industri dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sangat penting bagi mengurangkan pandangan negatif masyarakat terhadap STEM dan sekali gus memastikan kehilangan pelajar STEM setiap tahun dapat diatasi,” katanya.

Sementera itu, Pengerusi National STEM Movement, Prof Datuk Dr Noraini Idris, berkata penurunan ketara itu dapat dilihat daripada bilangan kelas aliran sains di sekolah yang sebelum ini bilangannya empat atau lima tetapi kini hanya satu atau dua kelas sahaja.

“Apabila dibuat kajian sejak beberapa tahun lalu, nyata masalah itu bukan semata-mata berpunca daripada pelajar tetapi pelbagai faktor, termasuk pengurusan sekolah yang dilihat kurang yakin dengan keupayaan guru dan pelajar dalam bidang STEM ini,” katanya baru-baru ini.
Noraini berkata, antara kerenah pengurusan sekolah ialah sukar memberi kerjasama kepada guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik untuk lebih kreatif dalam kaedah penyampaian pembelajaran dan pengajaran.

Beliau berkata, latar belakang pengetua serta pengurusan sekolah yang bukannya daripada bidang STEM juga menyukarkan guru menggunakan kreativiti mereka untuk manfaat pelajar.

“Jangan terkejut jika ada pengetua atau pengurusan sekolah yang masih lagi tidak faham standard makmal yang diperlukan bagi pembelajaran STEM. Ini bukan bermaksud untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi bagi menjayakan STEM ini, kita mohon semua orang bersikap terbuka.

“Jika ada pula yang bimbang mengenai kos, rasanya guru STEM rata-ratanya kreatif untuk menggunakan bahan di sekeliling mereka, terutama bahan kitar semula. Cuma apa yang diperlukan ruang dan peluang untuk bidang STEM berkembang dalam kalangan pelajar,” katanya.

Tambahnya, trend pengurangan jumlah pelajar aliran STEM ini juga akan memberi implikasi terhadap daya tampung tenaga profesional bagi pembangunan negara pada masa depan.

“Secara mudahnya, kekurangan pelajar dari peringkat menengah ini akan memberi kesan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) kerana pada waktu ini sebanyak 11,000 tempat dalam pelbagai jurusan berkaitan STEM di IPT tidak dapat diisi, dengan akhirnya pengeluaran jurutera, saintis, doktor yang berkualiti tidak menjadi kenyataan,” ulasnya. - BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »