Sekolah "tanpa tunai" dalam perancangan KPM - Maszlee

10:39:00
PUTRAJAYA 28 Mac - Kementerian Pendidikan kini dalam perancangan untuk memperkenalkan program sekolah tanpa tunai (cashless school) di sekolah-sekolah di negara ini.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, inisiatif tersebut digerakkan melalui usahasama antara kementerian dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Program sekolah tanpa tunai kini dalam perancangan kita yang mana ia melibatkan usahasama kita dengan BSN. Dan tadi kita mendapat persepakatan dasar yang mana kita akan adakan projek rintis sekolah terpilih.

“Sekarang ini memang ada sekolah yang seperti ke arah tanpa tunai contohnya di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan. Jadi kini kita hendak memperkembangkan itu di sekolah-sekolah lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) 2019 di sini hari ini.

Maszlee menambah, kementerian dengan kerjasama BSN sedang giat mengalakkan budaya menabung dan mewujudkan kesedaran literasi kewangan dalam kalangan murid.
Menurut beliau, Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) BSN dan kementerian bagi mendidik pelajar agar bersikap berhemah dalam berbelanja serta mempersiapkan diri untuk masa hadapan sejajar pepatah ‘menyediakan payung sebelum hujan’.

“Antara jalan keluar dari kemelut kemiskinan seperti disebut oleh pihak Jupiter Securities pada 2016 adalah bagi keluarga berpendapatan rendah (B40) dan pendapatan sederhana (M40) untuk menabung dan juga mempunyai kesedaran literasi kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Maszlee berkata, menerusi sekolah tanpa tunai, murid dan pelajar juga dapat bebas daripada risiko kehilangan atau kecurian wang.

Mungkin pada suatu masa nanti, kata beliau, teknologi membayar hanya menerusi pengesanan Kod Maklum Balas Pantas (Kod QR) sahaja.

“Mungkin nanti dalam masa cucu kita nanti, pembayaran menggunakan pengecaman wajah. Oleh itu, BSN perlu bersedia ke arah itu manakala kementerian juga perlu meneliti langkah berkenaan,” katanya.

Sumber – UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »