Peguam Negara iktiraf UEC - Timb. Menteri Pendidikan

20:15:00
KUALA LUMPUR 30 Mac – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ternyata gembira dengan keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels.
Menerusi kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin dalam akaun Facebook rasminya malam tadi, Nie Ching turut mengucapkan tahniah secara khusus kepada Peguam Negara, Tommy Thomas yang merupakan Pengerusi Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia.

“Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia telah bersetuju UEC adalah setaraf dengan STPM dan A-Levels, dan perkara ini membolehkan pelajar persendirian Cina boleh membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

“Terima kasih Peguam Negara,” katanya di sini.
Semalam, Tommy dalam kenyataan memaklumkan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk bermula 1 Januari 2021.

Katanya, perubahan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap pelbagai cadangan daripada ramai orang dan pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di United Kingdom (UK) mengenai penerimaan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang. - UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »