Pahang guna puisi bantu murid pra sekolah kuasai Bahasa Inggeris

15:52:00
Imej via Bernama
KUANTAN: Modul bahasa Inggeris “Let’s Rhyme” akan mula digunakan secara berperingkat di 19 buah pra sekolah di seluruh daerah ini dalam usaha membantu murid menguasai bahasa itu dengan lebih pantas.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Pahang, Mohamed Kamal Hashim berkata modul berunsurkan didik hibur dilihat lebih menarik minat murid untuk memahami dan mempelajari bahasa berkenaan.

“Modul ini juga sangat bagus dan sesuai untuk pelajar pra sekolah serta sekolah rendah dan pihak BTPN juga bercadang untuk memperluaskan penggunaan modul ini di setiap pra sekolah dan sekolah rendah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Model “Let’s Rhyme”, melibatkan kerjasama antara Pusat Kegiatan Guru Kuantan dengan Open University Malaysia (OUM) Kuantan di PKG Teruntum hari ini.
Turut hadir Pengarah OUM Kuantan, Razalina Abdul Rashid; Ketua PKG Kuantan, Mohd Syaheer Shariff; dan Pengerusi PKG Teruntum, Mohd Azmi Osman.
Imej via Bernama
Sementara itu, pengasas modul “Let’s Rhyme”, Noor Jahan Sultan berkata modul yang mempunyai 40 tema ini merangkumi 4 kemahiran asas bahasa bagi membantu murid.

“Modul ini merangkumkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis bagi membantu pelajar membaca teks bahasa Inggeris dan menguasai kosa kata serta tatabahasa.

“Saya pernah menggunakan modul ini kepada murid-murid saya dan penguasaan Bahasa Inggeris mereka meningkat sebanyak 97%. Ini menunjukkan keberkesanan modul ini dalam mendidik murid-murid,” katanya.
Sementara itu, Razalina berkata OUM bekerjasama dengan PKG kerana ia dilihat bertepatan dengan konsep OUM iaitu “Pembelajaran Sepanjang Hayat”.

“Kita menyasarkan 300 guru akan terlibat dalam pendedahan penggunaan modul ini yang akan dijalankan secara berperingkat di PKG Teruntum.

“Seramai 15 guru akan dilatih bagi setiap sesi untuk membolehkan guru-guru lebih memahami penggunaan dan irama yang akan digunakan dalam modul ini,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »