Langkah kekalkan status IPG Kampus Kota Bharu tepat - Maszlee

20:15:00

IPG KOTA BHARU BERPOTENSI SEBAGAI PUSAT 'EDU-ECONOMY', KATA YB DR MASZLEE

Keputusan Kerajaan mengekalkan status Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu dengan tidak ditukar menjadi Kolej Vokasional adalah tepat, kata Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik hari ini.
Ini kerana IPG Kampus Kota Bharu bukan hanya berfungsi melahirkan bakal pendidik, malah berpotensi menjadi pusat pendidikan peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, hari ini.

“IPG ini bukan sahaja melatih guru dari negara kita, malah ia turut menerima pelajar luar negara termasuk Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam."

IPG Kota Bharu kini menyediakan kursus jangka pendek kepada 30 orang guru dari Maahad Darul Furqan, Munduk Thailand.

Menurut YB Dr. Maszlee, IPG Kota Bharu juga boleh memainkan peranannya dalam merancakkan ekonomi berasaskan 'Edu-Economy'.

"IPG Kampus Kota Bharu boleh menyumbang kepakaran dalam menjalankan kajian, mengetuai program-program seminar serta melatih guru-guru luar negara. Secara tidak langsung, ia menjadikan pendidikan sebagai produk pelancongan dan menjadi segmen penting dalam meningkatkan keupayaan ekonomi, di samping mampu mempromosikan Kelantan sebagai pusat kecemerlangan akademik serantau," kata beliau.
Beliau turut berkongsi visi kementerian Pendidikan Malaysia meningkatkan kualiti IPG, pensyarah dan guru.

Justeru beliau menyeru warga IPG terus memberi komitmen padu dalam membudayakan pembinaan ilmu dan penyempurnaan akhlak melalui perkongsian ilmu, perancangan yang komprehensif dan berterusan demi memartabatkan sistem pendidikan negara agar menjadi sistem bertaraf dunia.

Sumber: FB KPM

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »