Kes pencemaran metana, 13 sekolah diarah ditutup

22:48:00
PASIR GUDANG: Sebanyak 13 sekolah berhampiran Sungai Kim Kim di sini, yang tercemar dengan bahan kimia mengeluarkan gas metana ditutup buat sementara waktu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Katanya, selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, SMK Tanjung Puteri Resort dan SK Tanjung Puteri Resort yang sudah ditutup sehingga hari ini, sembilan lagi sekolah ditutup bermula esok.
Beliau berkata, sekolah terbabit ialah SK Pasir Putih, SK Kota Masai 2, SMK Kota Masai 2, SK Kota Masai 3, SMK Kota Masai, SK Kota Masai, SK Perigi Acheh, Sekolah Agama Kampung Pasir Putih dan Sekolah Agama Taman Pasir Putih.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersetuju supaya Jabatan Pendidikan negeri dan Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor menutup sekolah terbabit sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khamis lalu, kira-kira 1,400 pelajar dan murid di SMK Pasir Putih dan SK Taman Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.
Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, orang ramai dinasihatkan mengelakkan diri daripada menghampiri jajaran Sungai Kim Kim, termasuk untuk melakukan aktiviti riadah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Kita juga nasihatkan orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas selepas terhidu atau terdedah kepada bahan kimia terbabit.
“Penduduk juga dinasihatkan mandi dengan kerap, selain membasuh pakaian yang dipakai di luar rumah secara berasingan dengan pakaian lain bagi mengelak kemungkinan terkena sisa toksik,” katanya.

Katanya, orang ramai juga diminta mengikuti maklumat terkini kejadian ini daripada sumber maklumat yang sahih dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sumber: Berita Harian

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »