Jangan melampau buat sambutan kecemerlangan murid

13:49:00
SEKITAR pengumuman keputusan SPM
di salah sebuah SBP semalam.
- UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR 15 Mac - Sekolah Berasrama Penuh (SBP) ditegur agar jangan melampau membuat sambutan hari kecemerlangan pelajar sehingga terlalu mengangkat pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan.
Tokoh Pendidikan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, situasi itu sekali gus akan mengguris hati dan emosi pelajar yang kurang cemerlang sehingga berlaku situasi banding beza dalam kalangan guru.

Tegasnya, meraikan pelajar cemerlang di peringkat sekolah sangat dialu-alukan kerana menghargai penat lelah guru yang mengajar namun, ada batasan perlu dijaga.

"Saya masih berpandangan yang berjaya itu perlu diraikan tetapi jangan terlampau menyanjung kerana kejayaan mutlak bukan pada 'markah' sahaja, ada ciri-ciri lain perlu kita ingat seperti berpersatuan, bersukan, keagamaan, kepemimpinan dan kemahiran berbahas," katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai sambutan hari kecemerlangan di kebanyakan SBP sempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 semalam.

Nik Safiah malah memberitahu, ada pelajar cemerlang disebabkan daya ingatan yang kuat dengan mudah memahami sesuatu subjek manakala ada pelajar tidak cemerlang dalam peperiksaan, namun, kemahiran analitikal dan kognitifnya sangat tinggi.

"Contohnya, ada pelajar yang mungkin mendapat 5A atau 6A tetapi menyertai pertandingan debat peringkat sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan seperti yang pernah dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia setiap tahun," jelasnya.

Sumber - UTUSAN ONLINE

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »