Guru takut cuti bersalin kerana tiada pengganti?

15:36:00
Imej via Google Images
PETALING JAYA: Pemuda PPBM menggesa Kementerian Pendidikan menyelesaikan isu kekurangan guru ganti di sesetangah sekolah sehingga mengganggu sesi pembelajaran.
Exco Pendidikan Pemuda PPBM, Mohd Ashraf Mustaqim berkata guru juga takut mengambil cuti panjang termasuk cuti bersalin kerana memikirkan tanggungjawab mendidik yang perlu diutamakan.

“Isu kekurangan guru dan tiadanya peruntukan untuk guru ganti, kelihatan sangat meruncing apabila banyak aduan dari pihak guru dan sekolah yang memaklumkan bermula bulan Mac ini, tiada lagi peruntukan untuk kemasukan guru ganti andai ada guru bersalin atau cuti sakit berpanjangan.

“Ini semestinya akan membebankan dan mengganggu proses penyampaian ilmu di sekolah-sekolah. Pemuda PPBM berharap pihak KPM mencari jalan bagi peruntukan guru ganti, sehinggakan ada guru yang mengadu ‘tidak berani nak beranak sebab tanggungjawab nak mendidik’,” katanya.
Asyraf menambah, selain isu guru ganti, Pemuda PPBM melalui Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) mendapati kekurangan peralatan di sekolah juga merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, terdapat sekolah di mana pelajarnya terpaksa bersila di atas lantai kerana ketiadaan kerusi dan meja.

“Pihak sekolah, ibu bapa, malah pimpinan masyarakat termasuk dari kalangan beberapa wakil rakyat sendiri mengadu permintaan dari sekolah-sekolah yang tidak mempunyai kelengkapan yang cukup termasuklah ketiadaan meja dan kerusi, sehingga ramai pelajar terpaksa duduk di lantai tanpa keselesaan demi meneruskan sesi pembelajaran.

“Isu peruntukan kertas turut dibangkitkan, kekurangan bahan itu membebankan pihak sekolah kerana terpaksa berjimat cermat sehingga membebankan guru dan juga ibu bapa, apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan setelah peruntukan kertas untuk sekolah-sekolah dipotong,” katanya.
Ashraf berkata, kementerian perlu memandang serius dalam menyelesaikan isu berbangkit itu supaya ia tidak merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Andai terdapat sabotaj politik yang dilakukan pihak-pihak tertentu dan merencatkan perubahan yang giat dilakukan pihak Maszlee Malik sebagai menteri, biro pendidikan Pemuda PPBM sedia ke hadapan menghalang gerakkan itu,” katanya sambil memuji tindakan pantas kementerian menyelesaikan isu kekurangan guru Sains dan Matematik di Pulau Pinang baru-baru ini.

Sumber: Free Malaysia Today

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »