Cikgu Sirhajwan terima anugerah antarabangsa kali ke 17

18:45:00
MOHD Sirhajwan (tengah) bersama Norlyziah (kiri) dan Anita menunjukkan sijil yang diterima.

Guru Bahasa Inggeris, Mohd Sirhajwan Idek dianugerahkan Pembentang Kajian Terbaik di persidangan International Conference on Research in Teaching, Education & Learning 2019 (ICRTEL) di KU Home, Kasetsart University, Chtuchak, Bangkok, Thailand.

Mohd Sirhajwan dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah antara tiga guru dari negeri itu yang mewakili Malaysia bagi pembentangan antarabangsa anjuran Teaching & Education Research Association (TERA).

Dua lagi guru ialah Anita Md Yasin (KV Keningau) dan Norlyziah Ali Hussein dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac, Kota Kinabalu.
Menurut Mohd Sirhajwan, anugerah itu diterima menerusi kajiannya yang bertajuk ‘See & Say: Utilizing Visuals to Stimulate Novice Learners Verbalization of Ideas in the Target Language’.

“Teknik pengajaran See & Say itu menggunakan visual tanpa perkataan untuk membantu pelajar menjana idea yang lebih kritikal.

“Teknik itu turut menggalakkan pelajar bertutur dalam bahasa Inggeris menggunakan perkataan sendiri,” katanya.
Pencapaian itu adalah yang ke-17 bagi kategori anugerah antarabangsa yang diterimanya termasuk dari United Kingdom, Perancis, Itali, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sementara itu, Norlyziah pula membentang kajian berkenaan inovasi pengajaran untuk subjek yang diajarnya iaitu Geografi.

Kajian ilmiahnya yang bertajuk The Application of Iziigrid in Facilitating Students’ Mastery of the Geographic Grid Among Students in Malaysian Secondary Education memfokuskan kepada alat inovasi yang dinamakan Iziigrid.
Iziigrid ialah pembaris khas yang membantu pelajar untuk memahami tajuk kedudukan.

Inovasi itu pernah menjuarai inovasi guru inovatif berkumpulan peringkat Sabah dan naib johan di peringkat kebangsaan pada tahun lalu.

Guru Seni Kulinari, Anita pula membentangkan kajian doktor falsafah (PhD) yang bertajuk Designing Effective Health Education Based on Students Perception on Obesity and Healthy Lifestyle.

Kajian itu berkenaan persepsi dan kesedaran pelajar kolej vokasional terhadap pemakanan sihat, risiko obesiti dan pencegahan melalui pendidikan.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »