Ada opsyen pindah penjawat awam ke swasta - PM

15:24:00
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan memastikan penjawat awam disediakan peluang pekerjaan di sektor ekonomi lain sebelum pengecilan saiz perkhidmatan dilakukan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, pengecilan saiz perkhidmatan awam juga tidak bermaksud berlakunya pengurangan peluang pekerjaan terutama apabila penswastaan dilaksanakan.

Katanya, kerajaan akan menyediakan pelan holistik bagi menjamin transisi terbabit tidak memberi kesan kepada perjalanan atau pengurusan pentadbiran negara.

"Sektor awam sewajarnya memfokus kepada penyediaan dasar utama dan menentukan arah dan penyediaan perkhidmatan serta tidak terbabit secara aktif dalam aktiviti ekonomi perdagangan di Malaysia.

"Dengan perkembangan teknologi terkini, kerajaan percaya perkhidmatan awam akan lebih produktif apabila pembaziran dihapuskan, pengagihan sumber dilaksana dengan cekap dan guna tenaga diganti dengan penggunaan teknologi maklumat serta komputer," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir berkata, pada 1983 menerusi pengenalan dasar penswastaan, kerajaan berjaya mengurangkan bebanan kewangan, meninggikan kecekapan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sumber secara cekap.

Katanya, ini dapat dilihat contohnya melalui kejayaan penswastaan Telekom di mana kakitangannya dipindah ke syarikat swasta, sekali gus berjaya mengurangkan pekerja dalam kerajaan dan mereka juga mendapat pakej gaji lebih baik.

"Kita dapati strategi ini masih relevan bagi menangani isu jumlah penjawat awam yang dilihat terlalu besar dan memberi implikasi kewangan yang membebankan.

"Penumpuan harus diberikan kepada perkhidmatan produktiviti dan penggunaan sumber tenaga secara optimum," katanya.
Beliau berkata, kerajaan sedar apabila pengurangan saiz kakitangan awam dikurangkan, maka akan berlaku pula masalah tiada pekerjaan.

"Ini akan menimbulkan masalah sosial sebab itu kita perlu bangunkan bidang pembuatan umpamanya, supaya lebih ramai yang boleh berpindah daripada bekerja dengan kerajaan kepada swasta.

"Ini sekali gus akan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa dalam kerajaan," katanya.

Beliau berkata, salah satu sebab peningkatan berlaku kepada perbelanjaan kerajaan adalah berikutan tindakan pimpinan kerajaan terdahulu yang cenderung menaikkan gaji pegawai awam dalam usaha untuk membeli kesetiaan mereka.

"Kita dapati kenaikan gaji penjawat awam semata-mata adalah antara faktor kenaikan kos sara hidup. Apabila kerajaan menaikkan gaji, sektor swasta turut akan ikut dan kos semua benda (barang) akan naik.

"Kita mengakui kenaikan gaji disambut baik oleh semua. Penjawat awam perlu ingat ia perlu selari dengan peningkatan produktiviti," katanya.
Menjawab soalan tambahan Ismail, Dr Mahathir berkata kerajaan terdahulu menubuhkan bermacam-macam badan dan memberi gaji cukup besar kepada individu tertentu.

"Kononnya sama seperti swasta. Ada yang dapat gaji puluhan ribu sebulan. Itu yang menyebabkan kos meningkat. Semua itu akan dihapuskan kerana mereka dapat gaji terlalu tinggi dan khidmat mereka juga tidak diperlukan.

"Kononnya mereka akan memperbaiki keadaan ekonomi negara tetapi ekonomi negara tidak dapat apa-apa kesan baik daripada tindakan mereka," katanya.

Ketika sidang media di lobi parlimen selepas itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sudah mempunyai opsyen tertentu untuk memindahkan pegawai awam ke sektor swasta.

"Kita boleh swastakan beberapa jabatan dalam kerajaan seperti mana kita lakukan kepada Telekom dulu... kita jadikan Telekom swasta.

"Kita pindahkan pekerja ini dan beri pilihan kepada mereka. Kalau mereka mahu masuk Telekom boleh, kekal dalam kerajaan pun boleh, tetapi syaratnya kalau kekal dalam kerajaan dia kena terima gaji kerajaan," katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »