35 mangsa daripada dua buah sekolah sesak nafas, pengsan hidu bahan kimia

10:28:00
Imej via Utusan
PASIR GUDANG 7 Mac - Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih di sini gempar apabila 35 mangsa terhidu sisa kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim berhampiran sekolah itu hari ini.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, kesemua mereka yang terhidu bahan buangan berjadual dipercayai bahan kimia jenis metana termasuk pihak agensi kerajaan yang datang memberi bantuan, dikejarkan ke hospital dan klinik untuk rawatan kecemasan.

Dua daripada mangsa iaitu seorang pelajar dan pekerja kantin SMK Taman Pasir Putih diberi bantuan pernafasan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Imej via Utusan
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sharuddin Jamal berkata, dua lagi mangsa iaitu seorang staf Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang ditempatkan Zon Kuning.

“Pihak kita setakat ini menerima 35 mangsa berusia antara tujuh hingga 40 tahun yang mana 26 dirawat di HSI, manakala yang lain dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan pesakit luar.

“Dua mangsa iaitu pelajar sekolah dan pekerja kantin diberi bantuan pernafasan selepas mengalami sesak nafas dan muntah-muntah,” katanya dalam sidang akhbar di HSI di sini hari ini.
Terdahulu pelajar-pelajar mula mengadu terhidu bau gas dan muntah-muntah kira-kira pukul 9 pagi sebelum mereka diarahkan berkumpul di kawasan padang sekolah sebelum pihak pengurusan kedua-dua sekolah itu mengarahkan semuanya pulang.

Menurut Sharuddin, sehingga kini pihaknya masih melakukan siasatan dan melakukan pencegahan dengan meletakkan oil boom bagi menyerap bahan sisa buangan daripada terus merebak.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama negeri, Aminolhuda Hassan berkata, dua buah sekolah itu diarahkan tutup buat sementara waktu sehingga kes selesai.

Sumber: Utusan

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »