Semua pihak perlu main peranan betulkan stigma pendidikan fokus peperiksaan - KPPM

16:08:00
NARATIF BAHARU AMALAN PENDIDIKAN

"Kita perlu mengembalikan sistem pendidikan negara ke jalan yang betul." Menegaskan perkara ini, YBhg Datuk Dr Amin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) berkata, penekanan akan diberi kepada "naratif baharu amalan pendidikan."
"Saya ingin mengembalikan dari naratif yang berorientasikan peperiksaan kepada naratif yang berorientasikan bukan peperiksaan, yang berorientasikan pertumbuhan, berorientasikan perkembangan," kata beliau ketika berucap pada Seminar Pendidikan Kebangsaan KGMMB 2019 di Kuala Lumpur pagi ini.

Ucapan beliau memfokus kepada "Naratif Baharu Amalan Pendidikan: Fokus dan Gerak Kerja Profesional KPPM 2019".

YBhg Datuk Dr Amin mengajak semua pemegang taruh supaya berganding bagi membetulkan naratif semasa yang menekankan peperiksaan.

"Saya minta kita sama-sama mengubah kepada naratif yang baharu."
Pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan perkembangan menekankan kepada usaha membina watak dan membangun sahsiah, dan merapatkan jurang dan meningkatkan prestasi.

Kata beliau, itu sebabnya YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan pada tahun lalu telah mengumumkan bahawa peperiksaan Tahap Satu bagi murid tahun 1 hingga 3 akan dimansuhkan mulai 2019.

Peperiksaan itu akan digantikan dengan pentaksiran yang lebih objektif.

Dalam Amanat YB Menteri Pendidikan 2019, YBhg Datuk Dr Amin berkata, YB Dr Maszlee menekankan tiga teras sistem pendidikan iaitu "yang berorientasikan nilai, menekankan kualiti dan memberi autonomi."

Seminar ini dianjurkan oleh Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).

#KPM
#MOE
#KGMMB

Sumber: FB KPM

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »