Sekolah kebangsaan resah kekurangan dana

01:30:00
SETELAH sebulan sesi persekolahan dibuka pada tahun ini, pelbagai kisah membabitkan sekolah, pelajar, ibu bapa, masyarakat dan pihak berkaitan masih kedengaran.

Antara topik hangat ketika ini ialah sumbangan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sepanjang bulan Januari lalu, pasti banyak sekolah yang telah mengadakan mesyuarat PIBG.
Saya juga berkesempatan menghadirinya, tetapi sambutan ibu bapa amat menyedihkan apabila bila­ngan guru lebih ramai hadir berbanding ibu bapa.

Sepatutnya, mesyuarat PIBG menjadi medan ibu bapa untuk mendekatkan diri dengan pihak sekolah dan mengetahui perjalanan persekolahan anak-anak masing-masing. Ketika itu, pihak sekolah dan PIBG akan berkongsi perancangan mereka selain menyatakan kekangan atau bantuan yang diperlukan daripada ibu bapa atau masyarakat sekeliling.

Hubungan erat ibu bapa dan guru mampu membantu pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti demi kebaikan anak-anak kita. Jika, sambutan daripada ibu bapa mengecewakan, pasti pihak sekolah pening untuk melaksanakan program atau aktiviti yang telah dirancang.
Selain itu, ketidakhadiran ibu bapa juga pasti akan timbul isu-isu berbangkit terutamanya enggan membayar sumbangan yuran PIBG. Sedangkan, sumbangan tersebut yang kadarnya berbeza mengikut sekolah adalah bagi membantu pihak sekolah untuk membeli kertas atau peralatan lain untuk kegunaan anak-anak kita.

Bagi mereka yang kurang mampu sebaiknya berjumpa dan berbincang dengan pihak sekolah dan mereka yang berkemampuan pula janganlah culas membayar kerana ia adalah untuk kebaikan anak-anak bukannya untuk para guru menggunakan duit itu sewenang-wenangnya.

Walaupun begitu, pihak sekolah tidak perlulah mewajibkan pembayaran yuran PIBG dan pembayaran tersebut perlu dijelaskan atas sifat tanggungjawab ibu bapa dan kesedaran mereka sendiri.

Sementara itu, banyak sekolah telah menganjurkan aktiviti merentas desa di peringkat sekolah malah peringkat daerah juga ada yang telah berlangsung. Beberapa minggu lagi, pihak sekolah pasti sibuk untuk me­nganjurkan pula sukan sekolah.
Isunya adalah masalah kekurangan dana dan guru-guru merungut Bayaran Bantuan Tambahan Persekolahan (BBTP) dipotong sehingga 50 peratus. BBTP adalah untuk kegunaan kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan sekolah tahunan dan kegiatan Pendidikan Islam serta Moral.

Saya dimaklumkan sebelum ini terdapat sekolah yang menerima RM7,000 dipotong menjadi RM5,000 sahaja. Keadaan itu menyebabkan pihak sekolah pe­ning memikirkan cara untuk menganjurkan sukan sekolah terutamanya sekolah kebangsaan yang kurang murid.

Mahu tidak mahu, guru-guru terpaksa menadah muka meminta bantuan ibu bapa untuk menderma. Jika kawasan berkenaan dihuni ibu bapa berpendapatan tinggi, ia pasti dapat meringankan beban sekolah, namun ia bukan tugas mudah.

Begitu juga, pihak sekolah dikatakan tidak lagi mendapat bantuan daripada ahli politik di kawasan berkenaan dan terpaksa mendapatkan sumbangan daripada pihak korporat atau ahli perniagaan.

Justeru, diharapkan pihak kerajaan melihat kebajikan di sekolah kebangsaan kerana bagi saya aktiviti sukan juga amat penting dalam pembangunan pelajar di negara ini.

Sumber: Nasri Jalamaludin Kosmo!

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »