PAK-21: JPN, PPD dan Pentadbir sekat kreativiti guru?

15:23:00
Imej via www.aspire-cs.com

PAK-21: MUDAHKAN, JANGAN MENYUSAHKAN GURU

Rentetan daripada post saya sebelum ini tentang salah faham tentang konsep PAK-21 oleh sesetengah pihak, majoriti guru berpendapat bahawa pelaksanaan PAK-21 di sekolah telah menjadi beban untuk guru dan 'lari' daripada fungsi sebenarnya, iaitu yang sepatutnya menjadi pendekatan dan aktiviti menyeronokkan di dalam bilik darjah.
Hal ini kerana guru telah diasak oleh pihak pentadbiran/pencerap yang berpendapat kononnya pelaksanaan PAK-21 wajib mempunyai elemen-elemen seperti penggunaan ICT, sistem traffic light, susunan kelas yang rigid, bahan bantu mengajar yang canggih, terkini dan sebagainya.

Bahkan, ada guru yang diberitahu oleh pencerap sama ada daripada pihak pentadbir, PPD mahupun daripada pihak nazir bahawa markah penilaian yang diberikan semasa proses pencerapan akan rendah jika tidak menggunakan ICT atau 'sistem traffic light' semasa proses PdPc.

Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku?

Sebab, pemahaman tentang konsep Pembelajaran Abad Ke-21 telah dirumitkan oleh sesetengah pihak sedangkan pelaksanaan PAK-21 tidak serenyah seperti yang disangka.

Dicadangkan agar pihak KPM membuat penyelarasan semula tentang pemahaman konsep PAK-21 kepada 'orang tengah' yang bertanggungjawab menyampaikan maksud sebenar PAK-21 kepada pihak JPN, PPD dan pentadbir yang sepatutnya bersifat memudahkan guru, bukan menyusahkan.
Dalam proses PdP/PdPc, perkara paling penting yang perlu diihat oleh pencerap ialah adakah proses pembelajaran mencapai objektifnya selain suasana yang menarik dan menyeronokkan. Bukannya mempersoalkan 'tools' yang digunakan oleh guru di dalam bilik darjah. Sedangkan PAK-21 hanyalah salah satu pendekatan, bukannya wajib diikut.

Masalah yang berlaku sekarang ialah pihak atasan telah menyekat kreativiti guru dalam melaksanakan PdP/PdPc untuk murid-murid mereka kerana perlu mengikut acuan dan kehendak sesetengah pihak yang kadang-kadang mereka sendiri pun tidak faham konsep PAK-21 yang sebenar.

Ya, memang betul. ICT merupakan salah satu komponen dalam teras transformasi pendidikan abad ke-21 tetapi persoalannya sekarang adalah,
1. Adakah kita mampu dan berupaya untuk menyediakan prasarana dan infrastruktur ICT yang diperlukan oleh setiap guru dan murid di sekolah?
2. Adakah pihak sekolah mampu menyediakan bahan-bahan yang diperlukan oleh guru untuk merealiasikan PAK-21 di dalam kelas sedangkan kertas A4, kertas warna, plastik 'liminate', mesin liminate, 'printer' dan dakwat pun guru perlu beli sendiri.
3. Adakah pihak sekolah mampu untuk menyediakan peruntukan kepada setiap guru kelas membeli peralatan dan barang-barang perhiasan untuk merealisasikan 'Kelas PAK-21'? Sedangkan duit untuk membeli langsir dan pembalut meja pun menggunakan duit guru sendiri.
Jika jawapan2 di atas adalah 'TIDAK', kembalilah kepada pemahaman konsep sebenar Pembelajaran Abad Ke-21 mengikut acuan 'Malaysia' sahaja. Bukannya acuan 'Finland'.
Kepada pihak atasan, berilah ruang dan peluang kepada guru untuk melaksanakan PAK-21 dan PdP/PdPc mengikut cara mereka sendiri. Guru2 kita telah dibebani dengan pelbagai tugas yang diluar tugas hakiki. Janganlah kita menambahkan lagi beban yang telah tersedia berat itu.

Ingat pesanan ini. PAK-21 tidak susah untuk dilakukan tetapi jangan sampai menyusahkan diri untuk melaksanakan PAK-21.

Sekian, terima kasih.

Cikgu Mohd Ridzuan Md Nasir
#cikgubiasasaja
#bukantunjukhebat
#berkongsiperasaancikgukita
#selamilahjiwagurukita

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »