Murid bandar dan luar bandar sama sahaja kebolehannya. - Bekas Pengetua

08:11:00

Imej via http://skkampungbaru.blogspot.com>
SUBANG JAYA: Pengetua bersara yang mendapat perhatian ramai dalam sebuah forum dihadiri Menteri Pendidikan, Maszlee Malik baru-baru ini, menolak tanggapan kanak-kanak Melayu di luar bandar secara semula jadinya lemah dalam pelajaran.
V Chakaravathy yang merupakan pengetua sebuah sekolah di Setapak sebelum bersara pada 1995, berkata pengalamannya menunjukkan keadaan sebaliknya.

Chakaravathy mendakwa berlaku kemerosotan umum dalam kualiti pengajaran sejak itu yang menjejaskan semua pelajar tanpa mengira kaum dan kawasan.

Beliau menjangkakan tanggapan salah mengenai pelajar luar bandar mungkin berlaku kerana mereka tidak mempunyai kelebihan kelas tuisyen di luar waktu sekolah, seperti kebanyakan pelajar di bandar.
Katanya, ibu bapa di bandar mampu menghantar anak mereka ke tuisyen tambahan kerana kurangnya dedikasi guru sekolah, memaksa mereka berbuat demikian.

“Saya tidak setuju dengan tanggapan kanak-kanak Melayu luar bandar tidak boleh berjaya. Ia terpulang kepada guru. Mereka perlu berdedikasi dan mempunyai keghairahan untuk mengajar.”

V Chakaravathy menyuarakan pendapatnya dalam sebuah forum pendidikan yang dihadiri Maszlee Malik pada 14 Februari lalu.
Beliau mendakwa dedikasi dan semangat itu lebih ketara dalam kalangan guru generasinya.

Chakaravathy mula mengajar di sekolah menengah kebangsaan di luar bandar, 54 tahun lalu. Beliau mengajar matematik dan kebanyakan pelajarnya mendapat A dalam peperiksaan.

Beliau mencapai kejayaan sama apabila mengajar di Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi dari 1970 hingga 1978.

Tetapi, Chakaravathy yang kini berusia 79 tahun, nampaknya berbangga dengan pencapaian di sekolah di Setapak, yang menurutnya terkenal dengan kegiatan gengster ketika beliau mula bertugas di sana.

Selain menjalankan tugas sebagai pengetua, termasuk membentuk disiplin dalam kalangan pelajar, beliau turut mengajar matematik.

Sepanjang perkhidmatannya di sana, sekolah itu pernah mencapai prestasi terbaik di Kuala Lumpur dalam peperiksaan tingkatan 6.

Katanya, beliau mula menyedari berlaku kemerosotan dalam kualiti pengajaran pada 1990-an.

Beliau mendakwa guru mula hilang komitmen terhadap pekerjaan itu kerana sistem yang tidak memberi ganjaran kepada guru cemerlang, sebaliknya pengiktirafan diberikan kepada mereka yang mempunyai hubungan dengan pihak atasan.

Beliau berkata, kurang keghairahan dalam pekerjaan berterusan dan guru hari ini hanya mengajar daripada buku teks serta mengabaikan peranan mereka sebagai “pencipta generasi berpengetahuan”.

Katanya, negara akan menderita jika trend itu berterusan.

Sumber: Free Malaysia Today

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »