Jangan ganti kelas PJPK dengan Matematik, Bahasa Inggeris - Timb. Menteri

16:23:00
Imej via Malay Mail
GEORGE TOWN, 22 Feb — Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menggesa pihak sekolah untuk tidak mengambil mudah terhadap pendidikan seks, dalam usaha menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching berkata pada masa ini pendidikan seks diajarkan di peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah sebagai salah satu sukatan pelajaran di bawah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).
“Malaysia telah menjadi kawasan panas untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, jadi kita perlu mengajar anak-anak kita pada usia muda, bagaimana mencegahnya.

“Jadi saya berharap, pihak sekolah tidak akan menganggap PJPK sebagai satu mata pelajaran yang tidak penting dan mengantikannya dengan kelas Matematik atau Bahasa Inggeris. Tolonglah jangan berbuat demikian,” katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Subramaniya Barathee di Gelugor di sini, hari ini.
Teo berkata pendidikan seks merupakan satu subjek yang agak sensitif dan sebab itulah ianya tidak dinamakan dalam subjek di sekolah, tetapi diletakkan sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran di bawah PJPK.

Katanya kerajaan memandang serius mengenai perkara ini, dan bulan lepas satu pertemuan bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeo, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan beberapa wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan bagi melihat kaedah memperbaharui sukatan pelajarannya.

“Anak-anak kita pada hari ini mendapat maklumat daripada media sosial, Youtube, jadi adalah amat penting sekolah mengajar pelajar perkara yang betul dengan maklumat terkini,” katanya sambil menambah sukatan pelajaran mengenai pendidikan seks akan lihat semula dari masa ke semasa.
Katanya, pada masa ini, kanak-kanak prasekolah diajar bagaimana untuk berkata “TIDAK” dan untuk membezakan antara sentuhan yang selamat dan yang tidak selamat.

“Kami mengajar mereka membezakan ‘sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat’ dan ‘sentuhan selesa dan sentuhan tidak selesa’ untuk mengelakkan gangguan seksual,” katanya.

Katanya lagi, kaedah pengajaran bagi sekolah menengah adalah lebih rumit, dan pihak sekolah digalakkan mengasingkan antara pelajar lelaki dan pelajar wanita kepada dua kumpulan, supaya mereka dapat membincangkan mengenai topik ini dengan mudah.

Bagaimanapun, beliau berkata sokongan ibu bapa diperlukan dalam perkara ini, bagi memastikan anak-anak mereka lebih faham mengenai perkara tersebut.

“Sukatan pelajaran dan bahan pengajaran mengenai subjek ini akan disediakan untuk semua ibu bapa, dan mereka digalakkan untuk manfaatkannya juga,” katanya. — Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »