Isu RMT, ibu bapa boleh rayu jika rasa layak

09:51:00
KEMENTERIAN Pendidikan menasihati mana-mana keluarga yang anak mereka tidak layak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tetapi merasakan tidak mampu atas alasan tertentu supaya mengemukakan rayuan di sekolah masing-masing.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, Jawatankuasa RMT akan memberi pertimbangan khas terhadap rayuan yang dikemukakan oleh ibu bapa atau penjaga murid berkenaan.

RMT adalah untuk murid sekolah rendah terutama dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.

Kenyataan itu menyebut ada kemungkinan sesetengah murid tidak menerima bantuan berkenaan tahun ini disebabkan perubahan dalam pendapatan ibu bapa atau penjaga masing-masing.


“Kementerian sentiasa bersedia menghulurkan sokongan kepada murid-murid yang benar-benar memerlukan bantuan termasuk bantuan RMT, ” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, syarat pertimbangan untuk bantuan RMT bagi 2019 masih sama dengan syarat yang digunakan sejak 2014.

Mengenai rungutan seorang ibu bapa dari Johor bahawa anak mereka tidak mendapat bantuan RMT kerana program terbabit dihentikan untuk sesi 2019 seperti tular di media sosial, kementerian berkata,​ pihaknya sudah meminta Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pengurusan sekolah murid itu untuk meneliti kes tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa RMT dihentikan tahun ini dengan penyebaran gambar sepucuk surat yang memaklumkan perkara berkenan.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »