Doktor saran suntikan vaksin syarat untuk murid daftar sekolah

09:55:00
Imej via Google Images
KUALA LUMPUR: Tiada suntikan vaksin, tiada sesi persekolahan bagi anak-anak yang ibu bapa mereka enggan membenarkan pengambilan suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian baru-baru ini, demikian saranan penggiat industri kesihatan.
Saranan itu adalah antara gesaan mereka berikutan rancangan Kementerian Kesihatan untuk membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, sudah sampai masanya suntikan vaksin imunisasi ini diwajibkan sebelum kanak-kanak menyertai alam persekolahan kerana ia telah melibatkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

"Suntikan vaksin imunisasi ini perlu mandatori. Ia melibatkan kematian dan ia perkara serius kerana penyakit seperti difteria, ia boleh berjangkit jika tersebar," katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam, bahawa pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Menurutnya, kementerian mendapat 'desakan' kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Ketika ini, tidak menjadi satu kewajiban atau mandatori kepada kanak-kanak untuk divaksin sebelum dibenarkan masuk ke sesi persekolahan dan ia terpulang kepada pihak sekolah untuk melakukan pemeriksaan atau pengesahan lanjut.
Mengulas mengenai perkara ini, Dr Ahmad Shukri berkata, jika ibu bapa masih berdegil dan ingin terus menghantar anak-anak ke sekolah walaupun tanpa pengambilan suntikan vaksin, pihak sekolah boleh mengeluarkan surat kebenaran supaya pusat kesihatan memberikan vaksin kepada anak mereka.

"Ia melibatkan kebenaran ibu bapa, jika tidak, anak mereka akan menyebarkan pelbagai penyakit kerana tidak divaksin sebelum ini. Jika masih lagi tidak mahu memberi kebenaran, maka pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab jika ada kematian melibatkan mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden I-MEDIK Malaysia, Prof Dr Azizi Ayob berkata cadangan supaya mewajibkan kanak-kanak yang ingin mendaftarkan diri di sekolah supaya mengemukakan rekod imunisasi adalah baik kerana ia boleh mengelakkan mereka menjadi ejen penyebar penyakit yang boleh dicegah.
Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan undang-undang supaya ibu bapa patuh kepada jadual imunusasi di negara ini supaya 'herd imunusation' iaitu 95 peratus komuniti divaksin dapat dicapai.

"Kita tidak boleh melarang kumpulan antivaksin kerana tiada akta melarang. Kebanyakan mereka berkomunikasi menerusi media sosial. Apa yang boleh dilakukan ialah mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya suntikan vaksin," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin pula berkata, tindakan ibu bapa yang terdiri daripada kumpulan antivaksin, yang mempercayai maklumat daripada internet berbanding pihak yang layak memberi maklumat mengenai vaksin hanya akan membahayakan masyarakat.

"Jika kita benarkan terlalu ramai individu yang tidak mengambil vaksin, itu bermakna kita membenarkan penyakit untuk terus berjangkit. Apabila kumpulan antivaksin ini menjadi besar, mereka mempengaruhi inidividu lain sedangkan mereka tiada kredibiliti untuk memberi penerangan mengenai perkara itu ," katanya.
Dilapor, lima lagi kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria dan kini ditahan di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Baharu dan kesemua kanak-kanak berkenaan termasuk tiga perempuan berusia bawah empat tahun itu, dikesan positif jangkitan difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Seorang daripada mangsa yang positif adalah kakak kepada budak lelaki berusia dua tahun satu bulan yang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria, Selasa lalu.

- BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »