Yuran PIBG tidak sepatutnya menjadi isu, dipertikai

15:54:00
Gambar hiasan via SMKSIS
SEREMBAN - Yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak sepatutnya dipertikaikan kerana ia dipersetujui dalam mesyuarat persatuan itu di sekolah masing-masing, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek.

Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Ampangan berkata, jumlah bayaran yuran PIBG yang ditetapkan adalah persetujuan bersama di antara ibu bapa dan guru.
"Sebenarnya kutipan yuran PIBG ditentukan dalam mesyuarat persatuan itu di sekolah yang membabitkan ibu bapa dan guru. Cuma, malangnya kemungkinan dalam kebanyakan mesyuarat PIBG, ramai juga ibu bapa yang tidak hadir...itu yang menjadi masalah.

"Harapan saya ialah kalau boleh ibu bapa juga hadir dalam mesyuarat PIBG untuk bersama-sama memberi pandangan. Malah, dalam mesyuarat PIBG boleh untuk mengurangkan yuran PIBG sekali pun. Maka dengan itu segala masalah berkaitan tentang jumlah bayaran yuran dan sebagainya boleh dibincangkan secara bersama...itu adalah lebih baik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra mengedarkan kalender 2019 kepada orang ramai di Pasar Tani Ampangan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai rungutan sesetengah ibu bapa tentang yuran PIBG sekolah yang dikatakan membebankan mereka (ibu bapa).

Katanya, kebiasaannya yuran PIBG dikenakan untuk satu keluarga, satu yuran, tetapi ada juga PIBG mengenakan yuran tersebut mengikut bilangan anak yang bersekolah.

Bagaimana pun, katanya ini bergantung kepada persetujuan dalam mesyuarat PIBG berkenaan. - Bernama

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »