(Video) Sekolah Seni Perak harumkan nama Malaysia di Beijing

07:15:00
SEKOLAH Seni Malaysia Perak (SSeMP) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila mendapat pingat emas menerusi persembahan teater ‘Mek Mulung’ dan ‘Jikey’ pada China Youth Spring Festival Gala Night & Global Youth Talent 2019 di Beijing, malam kelmarin.
Sebelum ini, sekolah itu mencatat sejarah menjuarai pertandingan Monolit International Festival di Barcelona, Sepanyol pada November tahun lalu dengan persembahan yang sama.

Penolong Kanan Kesenian SSeMP Zuraini Abdullah berkata, usaha mengetengahkan Mek Mulung di persada antarabangsa sentiasa dipergiat untuk mengekalkan warisan seni negara agar tidak pupus.

Katanya, dengan kejayaan itu, ia secara tidak langsung memperlihatkan hasil usaha gigih mereka selama ini terhadap seni teater tradisional bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.
“Kejayaan ini membuktikan usaha keras kami berbaloi dan kami berharap pada masa akan datang, kami akan berjaya membawa pasukan kami mengetengahkan bidang teater, tari dan muzik ke festival antarabangsa,” katanya kepada Bernama News Channel, malam tadi.
Izatul Husna Samsuri
Sementara itu, Izatul Husna Samsuri, 15, yang memegang watak utama dalam persembahan Mek Mulung berasa bangga dapat mempamerkan seni teater tradisional dalam bahasa Malaysia kepada negara lain.

“Bagi kami memang sangat berbaloi. Sebelum ini kami selalu kena marah (semasa latihan) tetapi setelah mencapai kejayaan ini, barulah kami sedar bahawa kejayaan hanya datang jika kita berusaha keras,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Hezreil Isqandar Megat Maz Ardi, 14, yang juga cucu kepada tokoh lagu irama Malaysia, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, gembira kerana dapat menimba banyak pengalaman baharu selain meneruskan legasi Allahyarham datuknya.

“Kami dapat banyak pengalaman terutama ketika menjalani latihan. Kami juga gemuruh sebab pertama kali buat persembahan di negara orang,” katanya.

Festival gilang-gemilang itu turut menyaksikan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee, Pulau Pinang mendapat emas bagi kategori tarian, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Perempuan Pulau Pinang mendapat perak bagi kategori koir dan anugerah gangsa bagi kategori tarian.

Kira-kira 2,500 pelajar mewakili 80 pasukan dari lapan negara menyertai pertandingan itu.

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »