Sokong penuh lantikan guru interim - GGPUA

17:15:00
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) menyokong penuh cadangan lantikan guru interim bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di sekolah.
Menurut wakilnya, Muhammad Dzul-Harith Remlle, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melalui memorandum yang diserahkan gerakan itu sebelum ini.

Katanya, lantikan guru interim boleh menjadi jalan tengah bagi mengatasi masalah kos yang tinggi bagi melantik guru baharu.

“Cara ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri di Sabah dan Sarawak. Mereka lantik guru interim gred DC41 dan dalam tempoh beberapa tahun diserap ke gred DG41 apabila sudah cukup kelayakan.

“Masalah kekurangan guru ini memang diketahui umum jadi mahu tak mahu, kerajaan perlu selesaikan. Ia juga dapat membantu mengurangkan jumlah graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan dan ada antara mereka menunggu sehingga lima tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan terdapat kira-kira 6,500 graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan sebagai guru.

Namun, menurut Dzul-Harith, Kementerian Pendidikan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan telah melaksanakan temu duga terbaharu dan sehingga akhir tahun ini kira-kira 2,000 graduan telah ditempatkan.

“Tetapi kita kena ingat, tahun ini juga ada graduan baharu yang tamatkan pengajian. Maknanya jumlah graduan pendidikan yang belum ditempatkan ini masih ramai walaupun sudah ada pengambilan guru baharu,” katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan graduan yang mendapat penempatan hanya dalam subjek-subjek tertentu seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

“Ada subjek yang sangat kritikal kerana sangat sedikit graduan yang ditempatkan. Contohnya, subjek Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pengajian Malaysia,” katanya.

Sumber: Utusan
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »