Sekolah tidak patuh, guru digesa buat aduan - NUTP

07:54:00
KUALA LUMPUR 22 Jan. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa semua anggotanya mematuhi peraturan lima inisiatif dan sembilan intervensi bagi mengurangkan beban tugas guru seperti digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock dalam kenyataan hari ini berkata mana-mana sekolah yang tidak mematuhi peraturan itu yang berkuatkuasa awal bulan ini diminta mengemukakan aduan beserta bukti kepada NUTP melalui emel ke mail@nutp.org.my atau nutphq@gmail.com.
"NUTP menerima maklumat inisiatif itu 'lambat' dijalankan dan guru-guru masih mengeluh kerana terpaksa mengisi dokumentasi serta menjalankan kerja-kerja yang tidak releven yang diarahkan oleh pihak pentadbir.


"Kami berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi dan memohon pihak pentadbir lebih peka dan akur kepada arahan surat pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM," menurut kenyataan itu.


Lima inisiatif bagi mengurangkan beban tugas guru termasuk memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi melalui tiga intervensi iaitu Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan pentaksiran bilik darjah (PBD).


Inisiatif lain termasuk pengurusan data dan sistem online, membenarkan sekolah merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang sesuai dengan keperluan murid; penyeragaman borang dan proses pemantauan bagi memastikan guru tidak lagi terbeban mengisi borang kebersihan, keselamatan dan penarafan kantin serta memansuhkan pelbagai jawatankuasa di peringkat sekolah yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik. - BERNAMA

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »