PBS: Sejauh mana kejujuran guru mentaksir & menilai murid?

15:40:00
FAIEZ ALI, 
Jurucakap TFTN
SAUDARA PENGARANG,

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO), Teach For The Needs (TFTN) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan memansuhkan peperiksaan sumatif (hasil tambah) tahap satu dan beralih kepada pentaksiran sekolah rendah secara formatif.

Dengan melaksanakan pemansuhan peperiksaan berpusat dan memperkasakan pentaksiran formatif dalam kelas, diharapkan agar guru mempunyai lebih autoriti untuk memilih dan melaksana pentaksiran murid serta tidak hanya terikat kepada mana-mana standard atasan yang penuh birokrasi.
Namun begitu, kementerian perlu memastikan perubahan ini berlaku secara struktural dan bukan hanya penjenamaan semata-mata.

Berdasarkan infografik yang dikeluarkan oleh kementerian, lima fokus digariskan berkaitan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah tahap satu iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira, menaakul dan pengamalan nilai rutin harian.

Sebenarnya, jika disemak semula, kelima-lima faktor yang digariskan itu sudah pun terkandung dalam pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah sebelum ini.

Kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) telah wujud dalam kurikulum prasekolah dan sekolah rendah. Kemahiran menaakul pula dikenali sebagai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) manakala pengamalan nilai rutin harian juga sudah diterapkan sekian lama dalam subjek seperti Bahasa Melayu, Moral dan Pendidikan Islam.

Justeru, TFTN berpendapat kementerian wajar memberi penerangan lanjut mengenai perubahan ini agar masyarakat faham apakah perbezaan antara pendekatan kurikulum sebelum ini dan kesan langsung yang dapat dilihat daripada perubahan itu selain daripada sekadar penjenamaan semula.

Kementerian perlu menerangkan mengenai visi besar yang ingin dicapai dalam meneraju perubahan ini agar semua pihak terlibat terutamanya guru, ibu bapa dan murid-murid boleh bekerja menuju ke arah visi yang sama.

Dalam masa sama, kementerian perlu bersedia menangani isu berkaitan kebolehpercayaan keputusan pentaksiran sekolah dalam menilai pencapaian murid secara efektif dan jujur.

Terdapat kebimbangan sekiranya pelaksanaan perubahan ini masih melibatkan pendekatan atas ke bawah (top-down) dan birokrasi dokumentasi, maka keputusan penilaian akan dicantikkan di peringkat sekolah untuk tatapan pihak atasan.

Ini seperti dilaporkan berlaku dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Saringan Literasi dan Numerasi (Linus) yang mana akhirnya menyebabkan keputusan dikeluarkan tidak menggambarkan keadaan sebenar di sekolah.

Apakah langkah yang akan diambil kementerian bagi memastikan keadaan ini tidak berulang?

FAIEZ ALI

Jurucakap TFTN

Sumber: Utusan

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »