Murid kritikal jatuh tingkat empat bangunan sekolah

06:33:00
Imej via Utusan
ALOR SETAR 7 Jan. - Seorang murid perempuan sebuah sekolah menengah di sini, kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolahnya, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi, murid berusia 17 tahun yang masih tidak sedarkan diri itu turut patah kedua-dua belah paha, tulang di bahagian tengkuk dan luka pada bahagian dahi.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada pukul 7.04 pagi.

Menurutnya, murid berkenaan memerlukan alat bantuan pernafasan dan masih dirawat di Zon Merah hospital tersebut.

“Memandangkan keadaannya masih kritikal, pasukan pakar-pakar yang merawat masih berusaha untuk menstabilkan keadaan murid itu sebelum meneruskan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Setakat ini, belum dipastikan bagaimana murid tingkatan lima itu terjatuh, namun difahamkan terdapat sebuah kerusi ditemukan berhampiran tingkat empat bangunan berkenaan iaitu lokasi dipercayai dia terjatuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, seorang lelaki dipercayai bapa mangsa yang ditemui pemberita di pekarangan HSB juga enggan ditemubual.

Sumber - UTUSAN ONLINE
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »