Murid bakal wajib tamat sekolah hingga tingkatan lima

20:53:00
KULAI 27 Jan. - Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Pendidikan untuk mewajibkan semua pelajar melengkapkan persekolahan dari darjah satu sehingga tamat tingkatan lima.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah berdepan kemungkinan dikenakan denda sebanyak RM5,000 ataupun penjara selama enam bulan.

Beliau berkata, Akta Pendidikan kini hanya mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari darjah satu sehingga darjah enam sahaja.

‘‘Kita sekarang dah capai lebih 98 peratus anak-anak bersekolah (di sekolah rendah) tetapi sasaran kita ialah 100 peratus,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ziarah Cakna peringkat kebangsaan di Pejabat Penidikan Daerah Kulai, hari ini.

Nie Ching berkata, program tersebut adalah lanjutan dari program ‘Sifar Murid Cicir’ yang dijalankan sejak Julai 2018 yang bertujuan mengenal pasti masalah yang dihadapi sesuatu keluarga yang menyebabkan anak-anak mereka gagal menghadiri sesi persekolahan.

‘‘Mungkin dengan cara ini (Ziarah Cakna) kita dapat berjumpa ibu bapa dan memahami masalah mereka.

‘‘Ibu bapa yang tidak mendaftarkan anak untuk bersekolah pada umur tujuh tahun, kita boleh ambil tindakan undang-undang tetapi saya rasa dengan cara ini, guru-guru dan pemimpin tempatan dapat turun melawat ibu-bapa di rumah dan memahami masalah dihadapi mereka dan merangka tindakan yang boleh diambil,’’ katanya.

Nie Ching menambah, pihak­nya juga boleh mengenal pasti bantuan yang perlu disalurkan kepada ibu bapa ini sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkan kembali sistem pengasingan kelas bagi murid-murid sekolah.

Menurutnya, Ujian Kemasukan Tahun Satu telahpun dimansuhkan kerana kerajaan percaya ia adalah terlalu awal untuk melabel murid sekolah.

‘‘Kita harap kita dapat beri peluang yang sama kepada anak-anak ini. Dan di Finland, walaupun tanpa sistem pengasingan kelas, sistem pendidikan mereka adalah yang paling cemerlang dan jurang di antara murid-murid sekolah adalah yang paling kecil,’’ jelasnya. - BERNAMA

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »