Waktu PdP Pendidikan Islam tidak cukup, kenapa perlu dikurangkan lagi?

10:17:00
Imej via http://skkubangkerian1.blogspot.com
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Dengan hanya mengambil masa tiga jam seminggu waktu pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan, cadangan untuk mengurangkan tempoh pembelajaran mata pelajaran itu hanya akan merugikan anak-anak Melayu Islam.

Menurut Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan, pengurangan masa itu tidak relevan tempoh pembelajaran Pendidikan Islam ketika ini tidak mencukupi untuk membina keperibadian jati diri murid.

“Cadangan untuk mengurangkan masa mata pelajaran ini dilihat sebagai langkah mundur ke belakang dan mampu menjejaskan kualiti penghayatan agama secara lebih mendalam kepada anak-anak Melayu Islam.

“Sebaliknya kurikulum Pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasakan di peringkat lebih awal dengan menekankan aspek amali berbanding teori. Mata pelajaran ini perlu diberi keutamaan kerana generasi hari ini terdedah dengan pelbagai masalah disiplin dan kelunturan akhlak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azizee berkata, penekanan pengajaran Pendidikan Islam sudah termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1952 yang menggariskan hak murid yang beragama Islam untuk mendapatkan pelajaran agama.

Katanya, perkara itu turut diperkukuhkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang mewajibkan setiap sekolah yang mempunyai bilangan murid sekurang-kurangnya 15 orang wajib diajar pelajaran agama.
Sepatutnya Ditambah

Peruntukan waktu bagi mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah sepatutnya ditambah kerana disifatkan terlalu sedikit ketika ini berbanding subjek lain.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, peruntukan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan ketika ini hanya 96 jam minimum setahun dan tambahan 32 waktu untuk tasmik.


Ujarnya, bagi sekolah menengah kebangsaan pula, peruntukan bagi mata pelajaran itu hanya 128 jam setahun.


Tegas beliau, waktu yang diperuntukan itu amat kurang berbanding keperluan kepada pelajar hari ini sekali gus tidak wajar untuk dikurangkan.


“Tidak sedarkah hari ini permasalahan sosial, keruntuhan akhlak, kebobrokan rumah tangga dan kecelaruan diri dalam kalangan pelajar Islam semakin meruncing.

“Ini ditambah dengan cabaran zaman modenisasi dan teknologi maklumat tanpa sempadan yang mana agama adalah perisai besar untuk menangani masalah ini. 


“Persoalannya, apakah akan terjadi sekiranya waktu pembelajaran Pendidikan Islam mahu dikurangkan?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Mohd. Norhiesam berkata, cadangan mengurangkan waktu mata pelajaran Pendidikan Islam juga tidak selari dengan hakikat yang mana ramai pelajar Melayu tidak boleh membaca al-Quran meskipun ketika memasuki sekolah menengah.

“Sepatutnya Pendidikan Islam diperkasa, bukannya dianggap hanya mata pelajaran, kerana inilah subjek yang menjadi keperluan kepada pelajar Islam dan lebih berguna berbanding dengan subjek sebagai ilmu fardu ain,” katanya. - UTUSAN ONLINE



loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »