Tiada kesilapan dalam kertas peperiksaan Biologi SPM 2018

10:39:00
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Tiada sebarang kesilapan soalan bagi kertas peperiksaan Biologi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Isnin lalu.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, perkara berkaitan salasilah keluarga yang dikemukakan adalah terkandung dalam kurikulum dan buku teks Biologi Tingkatan 5.
"Bagi menjawab soalan tersebut, calon dikehendaki membuat ramalan berdasarkan rajah salasilah keluarga yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kelmarin, portal Free Malaysia Today melaporkan tulisan seorang pembacanya dikenali sebagai Boo Soon Yew meminta supaya penelitian dilakukan terhadap soalan nombor 47 bagi kertas peperiksaan Biologi SPM tahun ini.

Dalam kenyataan sama, Lembaga Peperiksaan turut mengambil maklum mengenai masalah yang berlaku dalam kertas peperiksaan Braille SPM tahun ini.

Jelas Lembaga Peperiksaan, masalah tersebut mungkin memberi kesan terhadap kefahaman dan jawapan para calon.

Tambah kenyataan itu, Lembaga Peperiksaan akan memastikan masalah sama tidak berulang pada masa hadapan.

"Lembaga Peperiksaan akan memastikan keadilan kepada calon adalah terjamin dengan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap pemeriksaan jawapan," katanya.

Peperiksaan SPM berlangsung selama sebulan bermula sejak 13 November lalu dan dijadualkan berakhir pada 13 Disember ini. - UTUSAN ONLINE


loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »