PTPTN perlu lebih masa kaji kaedah baru bayaran balik pinjaman

11:48:00

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memerlukan tempoh 6 hingga 12 bulan bagi mengkaji semula pelaksanaan kaedah baru bayaran balik pinjaman pendidikan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid berkata, tempoh itu diperlukan bagi mendapatkan formula baru kaedah pembayaran pinjaman melalui perbincangan dengan pihak berkepentingan serta mengambil kira maklum balas yang diterima daripada semua pihak.

“PTPTN menerima keputusan yang dibuat oleh Kabinet untuk menangguhkan dasar baru yang diumumkan sebelum ini. Kerajaan sememangnya berhasrat untuk membantu rakyat, terutamanya peminjam daripada golongan B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah) agar tidak terbeban.

“Kami akan mengadakan ‘engagement’ dengan pihak berkepentingan termasuk pemegang taruh, majikan, peminjam, belia muda dan kementerian yang terlibat,” katanya kepada program Ala Carte Pagi Bernama Radio, di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil perbincangan akan dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan sebelum pelaksanaan mekanisme baru itu.

Pada Jumaat lalu (7 Dis) Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan penangguhan pelaksanaan kaedah baru bayaran balik PTPTN secara Potongan Gaji Berjadual yang dijadualkan bermula Januari depan.

Dalam pada itu, Mastura berkata, semua peminjam PTPTN termasuk yang dikenakan tindakan penguatkuasaan yang membuat penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman mulai 27 Okt tahun lalu hingga 31 Dis ini layak mendapat diskaun 20%.

Sumber: Free Malaysia Today

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »