Perlindungan takaful Cuepacs PA, Cuepacs Care untuk penjawat awam

22:23:00
KLANG: Hanya bayar RM6 sebulan, waris penjawat awam layak mendapat pampasan sehingga RM220,000 jika berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal, dengan menyertai program takaful kemalangan diri Cuepacs PA.

Pengarah Urusan Medicare Assistance Sdn Bhd (Medicare), K Palanisamy, berkata program berkenaan adalah kerjasama syarikat itu dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi memastikan setiap penjawat awam memperoleh perlindungan takaful pada waktu kecemasan untuk diri dan keluarga.

“Cuepacs PA diperkenalkan sejak 2006 dan khusus untuk meringankan beban kewangan waris manakala Cuepacs Care (1999) pula memudahkan penjawat awam mendapatkan rawatan pakar di hospital swasta dengan kadar bayaran berpatutan.
“Penjawat awam mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan tetapi untuk mendapatkan pakar mereka terpaksa menunggu lama kerana jumlah pesakit yang terlalu ramai. Justeru, Cuepacs Care adalah alternatif untuk penjawat awam mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Program Keusahawanan MyCuepacs Care, di sini, hari ini.

Palanisamy berkata, menerusi Cuepacs PA, penjawat awam yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dengan pengangkutan sendiri, hilang upaya kekal, lemas secara kemalangan, pembunuhan dan rusuhan layak mendapat pampasan berjumlah RM110,000.

Sementara bagi kemalangan jalan raya ketika menaiki pengangkutan awam berlesen serta kelumpuhan menyeluruh atau tidak waras akibat kemalangan, akan mendapat RM220,000.

Katanya, bagi Cuepacs Care, penjawat awam boleh mencarum serendah RM32 untuk perlindungan individu membabitkan kos rawatan sehingga RM40,000 setahun dan RM85 untuk caruman keluarga termasuk isteri dan anak-anak (RM60,000 setahun).

“Sejak diperkenalkan, lebih 200,000 penjawat awam mencarum dan terkini kami mempunyai kira-kira 60,000 pencarum (300,000 jika termasuk keluarga) untuk Cuepacs Care serta 30,000 caruman untuk Cuepacs PA,” katanya.

Palanisamy berkata, kesedaran untuk memiliki takaful insurans bukan tiada sebaliknya lebih kepada sikap sesetengah individu suka menangguhkan proses penyertaan seterusnya lupa.

Pada masa sama, katanya, hanya sejumlah kecil berhenti mencarum kerana sudah pencen atau berhenti kerja, sebaliknya ramai menghentikan caruman kerana mahu meminimumkan potongan gaji untuk membuat pinjaman lain.

“Apabila menghadapi masalah kewangan, perkara pertama yang akan mereka hentikan adalah caruman takaful sedangkan ia penting,” katanya.

Sementara itu, seramai 100 peserta menyertai program yang bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai, terutama graduan yang belum bekerja untuk mempromosikan produk perlindungan takaful penjawat awam iaitu Cuepacs Care dan Cuepacs PA.

Sumber: BH Online

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »