Pentaksiran baharu Tahap 1 melalui fun learning, berpusatkan pelajar - KPPM

19:01:00
PUTRAJAYA 19 Dis. - Pentaksiran Tahap 1 yang akan dilaksanakan pada tahun depan melibatkan pelajar Tahun 1, 2 dan 3 bakal memperkukuhkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melalui kaedah pembelajaran secara didik libur (fun learning) dan berteraskan pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, pelaksanaan pentaksiran baharu itu adalah bagi membina dan memperkukuh kemahiran asas 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul sebelum mereka melalui proses pembelajaran seterusnya.
"Murid-murid akan dinilai secara berterusan dalam pelbagai bentuk pentaksiran yang merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) iaitu dari aspek penilaian merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai.

"Ini membolehkan ibu bapa mengetahui kekuatan dan kelemahan anak-anak seterusnya menentukan bentuk sokongan yang boleh diberikan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Amin menambah, pentaksiran baharu itu akan bertumpu kepada perkembangan pembelajaran murid atau berorientasikan pembelajaran dan tiada lagi penekanan kepada peperiksaan atau berorientasikan peperiksaan.

"Ini bermakna mulai tahun depan tiada lagi peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun dijalankan bagi murid Tahap 1.

"Ini di mana guru akan lebih memberi tumpuan mengajar dari aspek membina kemahiran karekter dan sahsiah murid serta membebaskan murid daripada tekanan belajar untuk peperiksaan malah akan mewujudkan budaya belajar yang lebih seronok dan bermakna," katanya.

Beliau memberitahu, guru boleh menggunakan pelbagai kaedah dalam menilai muridnya menerusi aktiviti-aktiviti seperti kuiz, permainan, main peranan, bercerita dan projek mudah.

Walau bagaimanapun jelasnya, guru-guru tetap tertakluk dengan pelaporan asas iaitu Pelaporan Perkembangan Pelajaran Murid yang memantau perkembangan murid berdasarkan skala-skala tertentu.

"Ibu bapa tidak perlu risau dengan penilaian berbentuk formatif kerana penaksiran seumpama itu telah lama dilaksanakan. Menerusi pentaksiran baharu ini, guru akan memberi fokus secara individu kepada perkembangan murid," katanya.

Di samping itu, Amin berkata, tiada keperluan pengasingan kelas untuk Tahap 1 secara kekal atau berterusan tetapi boleh dilaksanakan jika ia bersifat sementara dengan tujuan khusus untuk proses pemulihan murid.

"Pihak sekolah diberi autonomi untuk melaksanakan PdP serta PBD menerusi autonomi profesional dengan bimbingan jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah (PPD)," katanya.

Sumber - UTUSAN ONLINE

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »