MRSM, asrama penuh tak patut jadi sekolah anak orang kaya - PIBGN

09:12:00
Tujuan asal penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk membantu golongan berpendapatan rendah perlu dikekalkan dan tidak sepatutnya kedua-dua sekolah itu berubah menjadi sekolah ‘anak golongan berada’.
Sehubungan itu, pemilihan pelajar ke sekolah elit itu sepatutnya tidak hanya bersandarkan kecemerlangan akademik, tetapi latar belakang serta pendapatan keluarga turut perlu diberikan perhatian.

Bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Mohamad Ali Hasan, beliau menyambut baik langkah kerajaan untuk meluaskan kuota kemasukan sehingga 60 peratus ke SBP dan 65 peratus ke MRSM bagi pelajar daripada golongan B40 (berpendapatan rendah) mulai tahun hadapan.

Justeru beliau mahu pengambilan pelajar mematuhi dasar 60 peratus dan 65 peratus yang ditetapkan untuk mengelakkan berlakunya monopoli dalam kalangan pelajar yang bukan dalam kategori itu.

"Kalau dah ditetapkan kuota kepada pelajar B40 memasuki MRSM dan SBP, maka perlu dipastikan pihak yang menguruskan pengambilan pelajar mengikut kuota yang ditetapkan. Jika tidak mematuhi dasar, itu yang menyebabkan tempat pelajar dalam kumpulan tertentu akan diisi dengan mereka yang tidak sepatutnya," katanya kepada Bernama.

Mohamad Ali berkata ia selari dengan dasar kerajaan baharu untuk terus membantu golongan kurang berkemampuan memperoleh kemudahan pendidikan berkualiti.

Dakwaan anak dapat 6A tak ada tempat

Isu keutamaan pelajar keluarga B40 untuk memasuki SBP atau MRSM dilihat menjadi isu yang sangat sensitif dalam kalangan ibu bapa kerana ramai yang berharap untuk anak-anak mereka memasuki dua jenis sekolah itu berdasarkan merit pelajar.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menyatakan komitmen mereka untuk memberi lebih peluang kepada pelajar daripada keluarga B40, dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun sendiri menegaskan pihaknya tidak mahu MRSM dimonopoli oleh golongan elit, sehingga mengganggu peluang untuk golongan pelajar B40.

Apabila keputusan permohonan kedua-dua jenis sekolah itu bagi kemasukan ke tingkatan satu tahun depan diumumkan Jumaat lalu, media sosial dipenuhi pelbagai komen daripada ibu bapa terutama kalangan ibu bapa yang nama anak mereka tidak tersenarai.

Ada dakwaan bahawa anak mereka yang mendapat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 6A dan aktif kokurikulum tidak mendapat tempat kerana berada dalam kelompok berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20) tetapi rakan anak-anak mereka yang hanya mendapat 1A diterima kerana datang daripada golongan B40.

Bagi ibu bapa yang menyokong usaha kerajaan yang mahu mengutamakan golongan B40 pula, alasan mereka pelajar dari golongan itu yang berpotensi tetapi mempunyai akses pendidikan yang terhad serta kehidupan di rumah serba kekurangan perlu dibantu untuk dapat bersaing ‘di padang yang sama rata’.

Sementara itu Mohamad Ali turut mencadangkan supaya pengambilan pelajar ke SBP dan MRSM turut difokuskan kepada pelajar di kawasan bandar bagi mengelakkan mereka daripada terdedah dengan masalah sosial di bandar.

Senada dengan Mohamad Ali, Profesor Emeritus Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron juga mahu kerajaan mengetatkan syarat-syarat pengambilan supaya tawaran ke SBP dan MRSM diutamakan kepada golongan B40.

"Perkara ini perlu dilaksanakan bagi mengurangkan jurang antara pelajar. Dengan adanya kuota ini juga, pelajar cemerlang dari pelbagai latar belakang pendapatan keluarga dapat menikmati pendidikan yang berkualiti," katanya.

Mengenai pembiayaan pendidikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang berjaya memasuki sekolah berkenaan, Isahak berkata satu skim bantuan pelajar perlu diwujudkan bagi membantu mereka menanggung kos seperti tambang perjalanan, pembelian barangan persekolahan dan wang saku.

Timbul dakwaan ada pelajar daripada golongan B40 tidak memasuki MRSM atau SBP walaupun telah ditawarkan, kerana untuk memasuki MRSM dan SBP mereka perlu mengeluarkan belanja yang agak banyak sewaktu pendaftaran dan persediaan sebelum mendaftar, yang dianggap agak membebankan bagi golongan terbabit.

Walaupun banyak bantuan disediakan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di MRSM dan SBP, lazimnya bantuan itu hanya diberikan selepas mereka memasuki kedua-dua jenis sekolah itu.

- Bernama

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »